26 wakil negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerima suntikan motivasi apabila tiga lagi sektor korporat sudi tampil menaja atlet sebanyak RM2 juta yang memenangi pingat emas pertama.

Dalam satu kenyataan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebentar tadi, Yinson Holdings Berhad menawarkan RM1j sementara Matrix Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre akan menyumbangkan sejumlah RM500,000.

Sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, Lim Chern Yuan, percaya penajaan ini akan mendorong para atlet untuk mempamerkan persembahan hebat di Paris.

“Kami sentiasa mencari peluang untuk menyumbang dalam sukan Malaysia dan cara yang terbaik untuk melakukannya dengan memberi inspirasi kepada atlet yang bertanding dalam Olimpik. Kami berharap sumbangan kami akan membakar semangat mereka untuk beraksi dan mencipta sejarah dan memenangi pingat emas pertama Malaysia di sukan Olimpik Paris,” katanya.

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Dato’ Seri Lee Tian Hock, berkata: “Menjadi hasrat kami agar kontinjen negara yang bertanding di Paris mampu mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pertama. Kami ingin mewujudkan persekitaran yang positif yang mana para atlet boleh memantau dan memotivasikan satu sama lain, berusaha hingga ke keringat terakhir untuk mendapatkan emas pertama.”

Pengarah Urusan MJ Health Screening Centre, Mike Tee, berkata: “Prinsip asas kami sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sihat dan sejahtera. Selaras dengan visi ini kami ingin memberi sumbangan kepada kontinjen negara dan kami positif sukan Malaysia akan mencipta sejarah di Sukan Olimpik.”

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, “Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara. Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti”.

Chef de Mission Kontinjen Olimpik Malaysia, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin berkata, “Kami sangat teruja kerana ramai badan korporat tampil memberikan sokongan mereka kepada kontinjen negara. Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat. Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara.”

Minggu lepas, Top Residency memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah, manakala Lim Keng Heng yang merupakan Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad turut menjanjikan RM1 juta kepada pemain kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program mereka iaitu Bakat Badminton SS.

Selain itu, pengeluar kereta dari negara China iaitu Chery Malaysia turut tampil menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Kerajaan Malaysia turut menetapkan pencen sebanyak RM5,000 sebulan kepada pemenang emas Olimpik.