BADMINTON

Ng Tze Yong beralih ke fasa latihan lebih berat

Stadium Astro
Shaiful Shamsudin
21/02/2025
11:33 MYT
Sponsor Banner
Ng Tze Yong beralih ke fasa latihan lebih berat
Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, akan kembali ke pentas antarabangsa dalam usaha menghidupkan semula kariernya.
Sebagai permulaan, Tze Yong dijangka menyertai kejohanan bertaraf rendah seperti Siri Antarabangsa BWF bagi mendapatkan semula rentak dan keyakinan dalam aksi kompetitif April depan.
Tze Yong turut meluahkan keterujaannya untuk kembali beraksi serta memuji kepimpinan ketua jurulatih, Kenneth Jonassen, yang banyak membantunya untuk mencapai tahap terbaik dan prestasi yang optimum.
"Saya agak gembira kerana dapat kembali ke gelanggang dan mula menyertai kejohanan pada April depan.
"Ia bukan satu kejohanan besar dan saya berhasrat dapat mengekalkan ranking.
"Sudah lama saya rasa tidak berasa kesakitan di bahagian belakang. Asalkan kesakitan tidak berulang, saya tidak takut.
"Kami mencuba beberapa kaedah latihan yang berbeza untuk mendapatkan kesesuaian terbaik buat saya.
"Saya harap dapat kembali lebih kuat," katanya di Nadi Arena sebentar tadi
Jonassen pula memaklumkan latihan Tze Yong sebelum ini dihadkan sejam sehari bagi memastikan pemulihan berjalan lancar selepas dihantui kecederaan belakang.
Pemain perseorangan itu sudah berlatih selama tiga hari sepanjang minggu ini dan akan meningkatkan ketekalan berkenaan kepada empat hari minggu depan.
Lantas, Jonassen optimis langkah dalam menyertai kejohanan bertaraf rendah pada April depan mampu memacu naib juara Terbuka Arctic 2023 itu ke arah prestasi yang lebih cemerlang.
"Dia perlu mengurangkan sesi latihannya tapi dapat menunjukkan 100 peratus ketekalan jadi kualiti (latihannya) tetap wujud.
"Saya melihat sejauh mana tahap profesionalismenya dan tidak mendesaknya terlalu awal bagi memastikan kemajuannya di laluan tepat.
"Dia akan mula menyertai kejohanan kecil terlebih dahulu.
"Ia bergantung kepada tahap perkembangannya dalam tempoh beberapa minggu lalu," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video