Kemenangan Lee Zii Jia ke atas Anders Antonsen, sebentar tadi, menawarkan satu pengalaman mengujakan buat penyokong di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perseorangan negara itu meneruskan rentak cemerlangnya dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia sejak menawan Terbuka Thailand minggu lalu menerusi menerusi kawalan gelanggang yang kemas, sekali gus mencipta kemenangan ketiganya ke atas seteru dari Denmark tersebut.

Malah, keberaniannya melancarkan permainan di jaring termasuk dengan pukulan kencang memberi kesukaran buat 'rakan baiknya itu' untuk sentiasa menjarakkan diri dengan kelebihan sebelum menutup aksi set pertama 21-15.

Selepas memungut lima mata berturut-turut untuk mendahului 8-6, namun lawannya di ranking keempat dunia itu memberi cabaran lebih sengit.




Dan selepas terikat 14-14, Antonsen lebih handal untuk kemenangan 21-19 untuk kembali menghidupkan peluangnnya.

Begitupun, sangkaannya itu meleset sama sekali apabila Zii Jia yang mendapat sokongan padu di tempat sendiri kembali menyusun langkahnya lebih rapi sebaik memasuki set ketiga yang meletakkannya di landasan selesa.

Dia kemudian menyudahkan aksi selama 1 jam 24 minit itu dengan kedudukan 21-11, seterusnya menempah pertemuan separuh akhir dengan Angus Ng Ka Long, esok.