Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Perlawanan sentuh emosi buat Liu Ying

pengsoonliuying.jpg
Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mengekalkan rentak kemenangan untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Masters Malaysia 2019 dengan menyingkirkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, di Arena Axiata , Bukiit Jalil, hari ini.

Dalam perlawanan penuh dramatik itu, kedua-dua beregu mempamerkan saingan sama hebat, namun pengalaman memberi kelebihan kepada Peng Soon-Liu Ying untuk meranapkan peluang bekas rakan sepasukan mereka itu dengan kemenangan 22-20, 22-20.

Di sebalik kemenangan itu, Liu Ying mengakui perlawanan tersebut lebih menyentuh emosi kerana buat pertama kalinya pertemuan kedua-dua pasangan beregu itu bukan lagi sebagai rakan sepasukan.

“Perlawanan juga sangat sengit, sangat mencabar daripada aspek mental. Kami pernah berlatih bersama-sama, masing-masing sudah tahu corak permainan, kami tahu siapa yang buat kesilapan akan terlepas mata.

“Perlawanan lebih daripada aspek psikologi. Mental kami memang penat, kami tahu strategi mereka, begitu juga mereka,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu

Dalam pada itu, Peng Soon berkata mereka akan berdepan dengan satu lagi perlawanan yang perlu menggunakan kekuatan mental menentang beregu pilihan utama, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun, di peringkat separuh akhir esok.

Beregu nombor tiga dunia itu mudah menewaskan pasangan Seo Seung Jae-Chae Yujung dari Korea Selatan 21-7, 21-13 untuk mara ke separuh aklhir.

Sementara itu, Soon Huat mengakui perlawanan menentang beregu utama negara sengit dan menyifatkan gandingannya bersama Shevon banyak melakukan kesilapan untuk meraih mata kemenangan pada saat genting.

“Kami hilang fokus ketika kedudukan genting. Bagi saya, siapa lebih tenang dalam mengawal gelanggang, mereka akan menang,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video