Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Peng Soon-Liu Ying cari rentak awal

chan-peng-soon-goh-liu-ying.jpg
Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tiada masalah untuk mara dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2019 apabila mudah menundukkan Thom Gikuel-Delphine Delrue dari Perancis, sebentar tadi. 

Kepenatan tidak menghalang beregu campuran nombor enam dunia itu mengharungi pusingan pertama di gelanggang Arena Axiata hari ini sekembali dari Bangkok, Thailand.

Set pertama menyaksikan penguasaan gelanggang memihak kepada wakil tuan rumah itu yang tidak berdepan masalah untuk menyerang dan bertahan dengan baik bagi memastikan kemenangan 21-13. 

Tiada peningkatan ketara yang ditampilkan oleh lawan dari Eropah berkenaan dalam set kedua untuk memudahkan laluan juara Masters Thailand 2019 itu mendominasi keseluruhan perlawanan bagi menoktahkan kemenangan straight set 21-14. 

"Ini kali kedua kami terlewat untuk mengadakan sesi menguji gelanggang, kami hanya sempat berlatih selama setengah jam di venue ini.

"Kami cuba mendapatkan rentak dalam aksi hari ini sebab lawan yang dihadapi bukanlah beregu handalan," kata Peng Soon. 

Bekas beregu campuran kebangsaan itu seterusnya akan membuat perhitungan dengan lawan dari China, Lu Kai-Chen Lu, dalam pusingan kedua, esok. 

Tambah Liu Ying: "Sebelum turun beraksi, saya sempat berbincang dengan Peng Soon bahawa misi hari ini adalah untuk mendapatkan rentak di dalam gelanggang." 

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, wakil utama negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, menerima tamparan hebat apabila gagal ke pusingan kedua selepas tewas kepada beregu Jepun dalam aksi straight set.

Permulaan hambar dapat dihidu seawal set pertama apabila Mei Kuan-Meng Yean tewas mudah 8-21 kepada gandingan mantap Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.

Enggan mengalah, beregu wanita negara itu mencetuskan sedikit kebangkitan tetapi masih belum cukup apabila terpaksa akur tewas 14-21 dalam set kedua.
 

Advertisement

Must Watch Video