Lee Zii Jia berjanji meneruskan momentum cemerlangnya dalam Terbuka Thailand ke Masters Malaysia minggu ini.

Pemain nombor 10 dunia itu merangkul kejuaraan menerusi kemenangan 21-11, 21-10 ke atas Angus Ng Ka Long dalam perlawanan akhir di Bangkok, semalam.

Kejayaannya itu juga secara tidak langsung telah membangkitkan aura Axiata Arena menjeang Masters Malaysia, esok, di mana Lee dijangka mendapat sokongan padu daripada penyokong tempatan.

"Semalam merupakan antara persembahan terbaik saya pada tahun ini, rentak ini yang saya cuba cari sejak sekian lama.

"Saya harap dapat kekalkan momentum dan perasaan yang sama apabila beraksi di laman sendiri minggu depan," katanya kepada penyiar SPOTV.




Zii Jia merupakan pilihan kelima di Malaysia Masters akan menentang pemain China, Zhao Jun Peng, dalam pusingan pembukaan, Rabu ini.

Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama, perseorangan lelaki kejohanan siri super 500 itu masih dipenuhi ramai pemain berkualiti dengan pilihan utama, Viktor Axelsen, rakan sepasukan kebangsaannya dan pilihan kedua Anders Antonsen, serta Li Shi Feng turut mengambil bahagian.

Leong Jun Hao pula dijadualkan menentang seorang lagi pemain China, Lei Lan Xi.