BADMINTON
Lee Chong Wei janji bantu TMJ perkasa badminton Johor
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, merancang meluaskan ekosistem sukan di Johor dengan memperkasa pelbagai inisiatif untuk anak muda yang tidak tertumpu kepada bola sepak sahaja.
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan melancarkan program tersebut bagi menaik taraf industri sukan negeri Johor yang semakin menarik perhatian pelbagai pihak.
Terbaru, menerusi perkongsian baginda ketika Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong JDT di Pusat Latihan JDT, di Padang Seri Gelam, malam tadi, TMJ menegaskan legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, akan bertindak selaku duta sukan itu dalam masa terdekat.
Iklan
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu akan menyertai barisan yang turut terdiri daripada bekas pemain bola sepak Australia, Tim Cahill dan bintang ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams.
Bekas pemain ranking nombor satu dunia itu berterima kasih kepada TMJ atas pelantikan itu yang bakal memberi manfaat kepada belia di Johor.
"Saya amat berbesar hati dan berasa sangat rendah diri atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor melalui pelantikan saya sebagai penasihat badminton dan Duta Sukan Johor.
"Semangatnya yang tidak berbelah bahagi terhadap sukan dan dedikasi baginda terhadap pembangunan sukan amat mengagumkan.
Saya berkongsi komitmen ini dan akan berusaha sedaya upaya untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dan Malaysia," katanya di Facebook.
Must-Watch Video