BADMINTON
Latihan serangkai mampu lonjak prestasi tiga perseorangan kebangsaan
Ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen, yakin bahawa jika Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, dan Justin Hoh dapat menjalani latihan bersama secara tekal setiap hari, mereka berpotensi mencapai prestasi yang lebih tinggi.
Bercakap kepada portal Scoop, jurulatih dari Denmark itu menjelaskan bahawa konsep latihan harian bersama ini diilhamkan daripada pengalamannya bersama skuad kebangsaan Denmark.
“Jika ketiga-tiga pemain ini dapat berlatih secara kolektif setiap hari, kita mungkin akan melihat perkembangan yang luar biasa.
Iklan
“Inilah faktor utama yang melahirkan pemain terbaik di Denmark.
“Pemain utama sentiasa berlatih bersama dan bergerak sebagai satu unit.
“Ketika Viktor Axelsen sedang meningkat naik, dia mempunyai rakan sepasukan seperti Jan O Jorgensen dan Hans-Kristian Vittinghus sebagai pesaing dalam latihan dan Anders Antonsen pula menyusul selepas itu.
“Jika semua pemain kekal cergas dalam jangka masa yang panjang, bukan sekadar satu hingga tiga bulan tetapi enam hingga 12 bulan, setahun dua maka seterusnya kami boleh membina sistem yang bukan sahaja melahirkan seorang pemain berbakat, malah ramai pemain yang berkualiti dalam tempoh yang lebih lama," katanya.
Namun, cabaran utama ketika ini adalah tahap kecergasan Tze Yong yang belum beraksi secara kompetitif sejak Januari tahun lalu selepas mengalami kecederaan di bahagian belakangnya.
Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu kini telah mula menjalani latihan penuh dan menyasarkan untuk membuat kemunculan semula pada April.
Jonassen sendiri tidak sabar untuk melihat apa yang mampu ditampilkan oleh Tze Yong selepas berehat begitu lama.
Sementara itu, Jun Hao dan Justin baru-baru ini beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia, namun masing-masing hanya berpeluang bermain sekali selepas Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan.
Jun Hao mempamerkan aksi cemerlang dengan kemenangan ke atas pemain Indonesia, Yohannes Marcellyno, manakala Hoh tewas dalam dua set berturut-turut kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Must-Watch Video