Skip to main content

Badminton

Kejohanan Remaja Dunia: Jun Hao galas misi gelaran juara

leong-jun-hao090917.jpg
Malaysia masih menanti seorang pemain perseorangan lelaki yang berupaya meneruskan legasi Datuk Lee Chong Wei. 

Terkini daripada pentas remaja, Leong Jun Hao muncul sebagai antara permata baru kepada takhta itu. 

Zulfadli Zulkifli merupakan perseorangan negara terakhir yang muncul juara remaja dunia pada 2011 yang masih mencari rentak di peringkat senior. 

Bagaimanapun, lawan yang ditewaskannya dalam final itu, Viktor Axelsen, sudah bergelar juara dunia di Glasgow, Scotland, dengan menewaskan legenda China, Lin Dan. 

Malaysia beralih kepada Soo Teck Zhi yang mencipta kejutan apabila menjuarai Kejohanan Remaja Asia 2013, namun dia juga masih terumbang-ambing. 

Jun Hao akan ke Kejohanan Remaja Dunia juga berbekalkan reputasi sebagai juara remaja Asia 2017 dan pengalaman di pentas Kejohanan Remaja Dunia menerusi penampilan pada 2016.

Cerita Jun Hao di pentas senior belum tertulis tetapi buat masa ini, dia berupaya meletakkan diri antara yang terbaik hasil program remaja negara. 

"Tahun ini, saya mempunyai sasaran, lantaran tahun lalu saya tidak menetapkan sasaran kerana masih mempunyai tempoh setahun lagi sebagai pemain peringkat remaja. 

"Jadi, saya mahu menang kejohanan kali ini," katanya. 

Bagi ketua jurulatih skuad remaja B-18 negara, Kwan Yoke Meng,  ini adalah masa yang tepat untuk Jun Hao mengasah aspek mentalitinya. 

"Dia perlu belajar untuk mengatasi tekanan. 

"Dia pernah tewas kepada pemain Singapura, Jason Teh, dalam kejohanan B-19. Oleh itu, dia perlu belajar untuk menyerap tekanan ketika menyandang harapan peminat negara," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video