BADMINTON
Kejohanan Dunia BWF: Zii Jia atasi Jason Anthony untuk ke pusingan kedua
Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mengatasi tentangan pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue, untuk mengesahkan tempat dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia BWF di Huelva, Sepanyol sebentar tadi.
Turun selaku pilihan keenam, Zii Jia mempamerkan penguasaan sempurna dalam set pembukaan, di mana dia tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama sebelum memutlakkan kemenangan 21-10.
Bagaimanapun, Jason Anthony bangkit daripada ketinggalan 8-13 untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum mencipta kejutan memenangi set kedua 21-17.
Iklan
Zii Jia kemudian menunjukkan betapa dia berada di tahap berbeza berbanding lawan di ranking ke-45 dunia berkenaan untuk memenangi set penentuan 21-10 dalam pertarungan yang memakan masa selama 50 minit itu.
Seterusnya, pemain berusia 23 tahun kelahiran Kedah itu akan berdepan wakil Brazil, Ygor Coelho, dalam penentuan ke pusingan ketiga esok.
*Kredit foto: Badminton Photo
Keputusan lain:
Perseorangan lelaki:
Liew Daren mn Misha Zilberman 21-14, 21-14
Beregu campuran:
Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mn Ties Van Der Lecq-Debora Jille 26-24, 21-12
Must-Watch Video