Skip to main content

Badminton

Kehadiran Chong Wei di ABM cetus semangat kem negara

lee-chong-wei.jpg
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini, sekali gus mencetuskan semangat baru buat skuad negara yang kehilangan beberapa pemain senior.

Chong Wei menjalani sesi latihan ringan di gimnasium  di ABM, dengan dia dijangka mula menjalani latihan penuh, Isnin depan.

Kehadiran Chong Wei itu mengejutkan barisan kejurulatihan negara, antaranya ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

Pemain berusia 36 tahun itu meluangkan masa selama beberapa jam di gimnasium berkenaan selepas sebelum ini menjalani rawatan pemulihan kanser hidung.

"Saya agak terkejut dengan kehadiran Chong Wei (hari ini) tetapi dia  sekadar singgah sekejap di ABM. 

"Dia sempat melakukan senaman ringan di gimnasium ABM untuk menikmati suasana sebelum kembali menjalani latihan sebenar di sini," kata Misbun. 

Mengulas mengenai tahap semasa Chong Wei, Misbun berpandangan masih banyak yang perlu dilakukan oleh bekas pemain nombor satu dunia itu untuk kembali semula ke tahap sebenar.

Berdasarkan pemerhatiannya, kecergasan Chong Wei ketika ini berada di tahap 30 hingga 40 peratus, namun beliau tidak bersikap terburu-buru kerana pemain itu menyasarkan untuk kembali bersaing dalam Kejohanan Seluruh England, Mac nanti.

"Dia nampak ceria dan segar.

"Saya nampak keinginannya untuk kembali menjalani latihan minggu depan. 

"Apapun, saya perlu berbincang dengannya terlebih dahulu," kata Misbun. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyambut baik kehadiran semula Chong Wei di ABM.

Jelasnya, perkara itu secara tidak langsung dapat meningkatkan semula semangat dalam kem badminton negara susulan ketiadaan dua gandingan beregu senior yang mengambil keputusan untuk keluar daripada badan induk berkenaan.

"(Kehadiran Chong Wei) merupakan hadiah tahun baru kepada ABM dan peminat badminton negara.

"Selama ini kita tertunggu-tunggu bilakah Chong Wei akan memulakan semula latihan.

"Kehadirannya juga memberi inspirasi baru kepada pemain di ABM untuk memulakan (cabaran) tahun ini dengan lebih baik dan cemerlang buat sukan badminton negara," ujar Norza. 

Advertisement

Must Watch Video