Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran, berpandangan pemain perseorangan muda negara, Justin hoh, perlu mengatasi cabaran daripada aspek mental untuk mencapai ke potensi dirinya sepenuhnya.

Walaupun menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat remaja, Justin berdepan kesukaran dalam peralihan ke peringkat senior, terutamanya dalam mengekalkan konsistensi dan keyakinan diri.

"Bagi saya Justin baraksi dengan baik di Kejohanan Kumamoto Master, dia menewaskan pemain nombor satu dan dua dari Korea serta beraksi dalam rubber set berdepan Lee Zii Jia.

"Dia sudah mempunyai taktikal tetapi apabila dia beraksi dia kerap meletakkan tekanan pada dirinya sendiri terlalu tinggi serta mahu mencapai (kemenangan) dengan terlalu cepat.

"Jika dia boleh mengawal perkara itu, saya rasa dia boleh beraksi dengan lebih baik dalam semua kejohanan berstatus Super 300," katanya.

Yogendran menekankan kepentingan kekuatan mental dalam sukan dan percaya bahawa dengan bimbingan yang tepat daripada Kenneth Jonassen yang bakal memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih perseorangan negara pada 3 Januari nanti, barisan perseorangan negara mampu mengatasi halangan ini sekaligus mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kariernya.

"Kita berikan jurulatih Kanneth masuk terlebih dahulu, saya rasa dia akan membuat perubahan yang dia patut lakukan. Kami juga akan memberikan yang terbaik untuk melatih pemain." tambahnya.