Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, menarik diri susulan mengalami kecederaan ketika bertemu wakil tuan rumah, Li Shi Feng dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Final, sebentar tadi.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Anders Antonsen dan Chou Tien-chen di Hangzhou, semalam.
Meskipun berjaya mara ke peringkat seterusnya, pemain kelahiran Kedah itu akan menentang wakil tuan rumah dan kelapan dunia, Li Shi Feng, sebagai pelengkap jadual.
Mempamerkan permulaan yang cukup cemerlang, Zii Jia berjaya mendahului permainan 11-5 di set pertama.
Shi Feng berjaya mengejar permainan apabila sekadar ketinggalan satu mata ketika 20-20, namun Zii Jia memperkemaskan semula gerakan sebelum berjaya menoktahkan kemenangan 22-20.
Set kedua Zii Jia enggan menoleh ke belakang daripada segi kutipan mata, berjaya mendahului 6-0 sekaligus mencorak permainan yang memihak dirinya.
Di sebalik berjaya memimpin permainan 13-5, Zii Jia mengalami kecederaan dan meminta pengadil untuk mendapatkan tempoh rehat bagi mendapatkan rawatan.
Selepas meneruskan permainan, Zii Jia ternyata bergelut untuk melakukan gerakan di atas gelanggang sebelum memutuskan untuk menarik diri daripada perlawanan.
Ammar Hakim
Fri Dec 13 2024