BADMINTON
Final Jelajah Dunia BWF: Aksi Zii Jia serba tidak menjadi
Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, tersingkir dalam separuh akhir Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF selepas tewas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn, secara set langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali sebentar tadi.
Kedua-dua pemain itu terlebih dahulu bertemu dalam aksi peringkat Kumpulan B, di mana Zii Jia unggul dengan kemenangan 21-15, 21-16 pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, pertemuan kali ini jelas berbeza, di mana Zii Jia kelihatan amat tertekan sepanjang pertarungan selama 44 minit itu.
Iklan
Turun selaku pilihan kedua kejohanan, ternyata musuh utama Zii Jia adalah dirinya sendiri, di mana siri pukulan ke garisan belakang yang dilakukannya kerap tersasar sehingga pada satu ketika ketinggalan 8-13.
Biarpun berhasil meraih lima mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 13-13, tekanan dan kesilapan sendiri kian membelenggu jaguh negara itu untuk akhirnya akur dengan kekalahan 18-21.
Ada usaha untuk pemain berusia 23 tahun itu bangkit dalam set kedua meskipun dalam keadaan yang amat tertekan, terutama ketika bermain di depan jaring.
Selepas menyamakan kedudukan 16-16, Zii Jia akhirnya terpaksa akur impian ke finalnya dimusnahkan dengan kekalahan 18-21.
*Kredit foto: Badminton Photo
Must-Watch Video