Skip to main content

Badminton

Dua beregu keluar tidak jejaskan penajaan BAM

pengsoonliuying_1.jpg
Tindakan dua beregu negara keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menjejaskan penajaan terhadap badan induk itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata semua penaja sedia maklum dengan penerangan mengenai perancangan BAM dalam memastikan perkembangan sukan badminton negara.

Dua beregu yang keluar daripada BAM adalah Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagi beregu lelaki dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, kedua-duanya awal bulan ini dan Disember lalu.

“Ia mengenai pembabitan dan akan menjelaskan kepada semua penaja. Kami beritahu penaja pada 2016 kami lahirkan Olimpian, kami memperoleh tiga pemegang pingat perak, bagaimana kami nak hadapi Olimpik seterusnya pada 2020 atau 2024. 

“Kami akan wujudkan barisan baru pemain yang akan menggantikan Olimpian. Saya fikir mereka memahami. Sebarang salah faham akan ditangani sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis BAM di Arena Axiata, hari ini.

Mohamad Norza menjelaskan tidak wajar dikaitkan penarikan penajaan berikutan keputusan dua beregu itu keluar daripada BAM kerana pemain itu adalah produk BAM yang telah digilap sejak 17 tahun lalu.

V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying yang baharu bergerak secara bebas telah menjuarai Masters Thailand minggu lalu.

“Seperti saya kata, selepas 15 dan 17 tahun di bawah BAM, takkan seminggu keluar BAM dan menang bermaksud mereka bukan produk BAM. Kejayaan mereka itu hasil daripada pelaburan BAM,” katanya.

Mohamad Norza berkata pemain muda di bawah BAM semakin menunjukkan permainan meyakinkan apabila tiga wakil, iaitu Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masing-masing mara ke separuh akhir Masters Malaysia hari ini.

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video