Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menganggap permohonan maaf yang dikemukakan pihak penaja jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia, berkaitan isu jalur gemilang terbalik di jersi pemain itu, sudah memadai dan tidak seharusnya dipanjangkan.

Hannah percaya Zii Jia tidak berniat untuk menghina atau memalukan negara sambil menegaskan semua pengurus dan atlet wajar mengambil serius isu itu agar tidak berulang pada masa akan datang.

Selain itu, Hannah turut mengesahkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pasukan Zii Jia bagi membincangkan mengenai program Road to Gold (RTG) bulan depan.

Terdahulu, dalam saingan Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China baru-baru ini, Zii Jia mencetus kontroversi selepas jersi gantian yang dipakainya ketika menentang perseorangan Taiwan, Chou Tien Chen, kelihatan memaparkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik.

"Pasukan Zii Jia sedang menunggu tarikh daripada pihak saya kerana saya mahu bertemu mereka untuk berbincang mengenai RTG tetapi ia akan berlaku pada Januari ini," kata Hannah kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Buat masa ini, mengenai isu itu, permohonan maaf sudah dilakukan dan saya tahu Zii Jia tiada niat untuk memalukan negara seperti itu.

"Kerana itu saya katakan permohonan maaf itu diterima tetapi kami mahu setiap pengurus dan atlet mengambil serius agar perkara ini tidak berulang."