BAM tawar Misbun kembali berkhidmat hingga tamat kontrak urai kemelut salah faham

Muzaffar Musa
Ogos 2, 2023 17:56 MYT
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, menjelaskan kemelut yang melanda persatuan itu dengan bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek, adalah disebabkan salah faham dan bersedia menawarkan jurulatih legenda itu untuk kembali berkhidmat sehingga kontraknya tamat hjujung tahun ini.
Misbun, dalam satu sidang media di ibu negara kelmarin, menafikan bahawa dia meninggalkan jawatan itu atas dasar persetujuan bersama dengan BAM, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai apa sebenarnya yang berlaku di antara kedua-dua pihak itu.
Selain itu, Misbun turut meluahkan rasa terkilannya kerana keputusan berkenaan hanya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, dan bukannya Norza.
Norza, dalam satu sidang media di ABM hari ini, mengakui kemelut berkenaan mungkin disebabkan oleh salah faham yang berlaku di antara pihaknya dan Misbun, di mana BAM bersedia untuk menawarkan jurulatih itu kembali berkhidmat sehingga kontraknya tamat atau isu berkenaan boleh dibawa ke meja rundingan untuk diselesaikan secara baik.
"Apabila 'task force' membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Misbun, saya dimaklumkan oleh pengerusinya bahawa Datuk Misbun telah menerima keputusan itu," kata Norza dalam sidang media itu.
"Jadi saya menilai bahawa Datuk Misbun sudah bersetuju dengan perkara itu dan Datuk Misbun juga ada menghubungi saya pada 26 Julai, jam 4.59 petang dan perkara itu sama seperti apa yang Datuk Subra katakan.
"Jika pada ketika dan saat itu, Datuk Misbun tidak bersetuju, saya tentu akan berjumpa dengannya.
"Saya boleh katakan yang saya memiliki hubungan istimewa dengannya. Saya tidak akan hilang hormat kepadanya sebagai seorang legenda, itu perkara terakhir yang mahu saya lakukan.
"Tetapi kerana (salah faham) komunikasi yang berlaku ini, dia selepas dua hari telah meluahkan (kekecewaannya).
"Jika dia terkilan kerana proses komunikasi ini, saya minta maaf bagi pihak diri saya dan BAM kerana bagi kami, kita adalah sebuah keluarga besar dan tidak perlu permusuhan seperti ini," katanya.
Mengulas lanjut, Norza berkata: "Kami berasakan perlu ada satu penyelesaian bagi kemelut ini.
"Saya, mengambil tanggungjawab sebagai presiden BAM, memberi tawaran kepada Datuk Misbun untuk menghabiskan kontraknya sehingga hujung tahun ini -- untuk dia memimpin skuad Kejohanan Remaja Dunia kita ke Amerika Syarikat.
"Sekiranya dia tidak berminat, dia boleh berjumpa dengan kami dan 'task force' untuk menyelesaikannya secara baik kerana kami tidak mahu ada sebarang masalah, kami tidak mahu ada pihak yang rasa mereka teraniaya atau dipinggirkan," katanya.
#badminton #Persatuan Badminton Malaysia #Misbun Sidek #Norza Zakaria
;