Skip to main content

Badminton

BAM tawar kejohanan tempatan medan ujian sistem kiraan mata baru

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kenny-goh_1.jpg
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, berkata badan induk itu sedia menawarkan diri bersama beberapa negara lain untuk menguji sistem kiraan mata baru yang dicadangkan Persekutan Badminton Dunia (BWF).

BWF akan menguji sistem kiraan baru, iaitu sistem 15 mata dalam tiga set terbaik menerusi beberapa kejohanan gred 3 dan Malaysia antara yang menawarkan diri.

Dengan itu, dua kejohanan tempatan akan menjadi medan berkenaan, iaitu Kejohanan B-18 Kebangsaan di Ipoh bermula 23 April ini dan Cabaran Antarabangsa Malaysia pada Ogos depan.

"Ia hanya proses percubaan daripada BWF untuk melihat sama ada sistem 15x3 ini sesuai atau tidak," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.

"Buat masa ini, beberapa negara sudah bersetuju untuk melakukan percubaan ini.

"Bagi Malaysia, kita akan menggunakan Kejohanan B-18 Kebangsaan dan Cabaran Antarabangsa Malaysia yang kedua-duanya akan berlangsung di Ipoh, Perak.

"Selepas dua kejohanan ini, saya percaya BWF akan mengumpulkan segala data dan info yang relevan untuk membuat keputusan nanti.

"Ia mungkin akan dibentangkan di peringkat Ahli Majlis BWF dan sekiranya tiada halangan, ia akan dibentangkan pula dalam Mesyuarat Agung BWF pada 2026 untuk diundi sama ada sistem berkenaan akan dilaksanakan atau tidak," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video