Beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri, terpaksa melupakan aksi bersama Choong Hon Jian menjelang saingan Terbuka Malaysia 2025.

Ia susulan pemain tersebut disahkan mengalami kecederaan 'koyak penuh' pada otot hip flexor sebelah kanan sekaligus mengganggu untuk dirinya melakukan gerakan penuh semasa di gelanggang.

Haikal yang berjaya mara sehingga ranking ke lapan belas terbaik dunia September lalu jelas terkilan dengan kejadian yang tidak diingini menimpa dirinya semasa sesi latihan pada Sabtu lalu.

Jelasnya, dia mendapat saranan doktor yang merawat untuk menjalani pembedahan dan terpaksa berehat selama enam minggu sebelum kembali turun ke gelanggang.

Ini bermakna dia sah terlepas dari aksi Terbuka Malaysia bulan depan.

Biarpun dibelenggu kecederaan, semangat pemain berusia 22 tahun ini tetap kental dengan sasaran kelompok lapan terbaik dunia serta bakal melakukan debut pada Seluruh England 2025.