BADMINTON
Badminton Dunia: Kian Meng-Pei Jing sekat kebangkitan Saurabh-Anoushka
Beregu profesional campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mengakui perlu membunuh permainan dengan lebih awal bagi mengelak kebangkitan lawan selepas membuka kempen Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, dengan nota kemenangan.
Biarpun selesa menumpaskan Saurabh Sharma-Anoushka Parikh, sebentar tadi, mereka tidak mahu mensia-siakan kesempatan terhidang yang menyaksikan mereka membuka permainan dengan garang apabila mendahului 10-3 sebelum menutup set pertama dengan 21-8.
Lain pula ceritanya dalam set berikutnya apabila beregu profesional yang menduduki ranking ke-11 dunia merangkap pilihan kesembilan kejohanan itu membenarkan pencabar dari India berkenaan bangkit untuk mendominasi gelanggang untuk mendahului 4-3.
Iklan
Saingan sengit berterusan hingga pertengahan pertarungan yang menyaksikan gandingan negara itu menuju masa rehat dengan kedudukan 11-10.
Kian Meng-Pei Jing -- yang mendapat bye dalam pusingan pertama -- kemudian menyambung permainan dengan penuh semangat dan mengutip enam mata berturut-turut untuk mendahului 17-10 tetapi kelalaian sekali lagi membolehkan lawan mengejar hingga hanya dijurangkan dua mata.
Mujur Kian Meng-Pei Jing kental bertahan dan menamatkan kempen Saurabh-Anoushka dengan kemenangan 21-18 sekali gus mara ke pusingan ketiga.
"Kami masih cuba menyesuaikan diri di sini termasuk cuaca.
"Kami bermain agak baik dan perlu membuat persediaan rapi bagi pusingan seterusnya.
"Kami mendahului selesa tetapi membenarkan lawan untuk mengejar kedudukan. Ini tidak boleh berlaku di atas gelanggang kerana memberi ruang kepada mereka.
"Saya harap ia tidak berlaku lagi," kata Pei Jing.
Menurut Kian Peng pula: "Pihak lawan tidak biasa dengan permainan kami dalam set pertama. Kemudian kami mengubah rentak permainan dalam set kedua dan ia memberi sedikit tekanan kepada kami.
"Selepas mata ke-11, kami ubah semula corak permainan."
Must-Watch Video