Perak Bison mengekalkan status sebagai pasukan gergasi Liga Sepak Takraw (STL) apabila menyingkirkan ATM Guardians 2-1 dalam perlawanan suku akhir GP Johor di Arena Larkin sebentar tadi.
Seperti kebiasaan, pasukan bimbingan Dzafril Anuar itu membariskan Kritsada Sungvung (tekong), Aidil Aiman (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam) selaku trio pemula tetapi mereka dikejutkan dengan kekalahan tipis 17-16 dalam set pertama.
Bagaimanapun, Guardian seakan-akan hilang arah dalam set kedua dengan melepaskan mata-mata mudah untuk Bison mengikat kedudukan dengan kemenangan 15-8.
Momentum itu dimanfaatkan Bison untuk meraih kemenangan 15-4 dalam set penentuan untuk seterusnya mencongak perhitungan dengan Negeri Sembilan Antlers dalam separuh akhir esok.
Muzaffar Musa
Fri Nov 01 2024