Selangor Pistons bersama tiga lagi pasukan negara akan membawa nama Malaysia bagi mengharungi Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) Champions Cup 2024 yang akan berlangsung di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, 3 hingga 17 November ini.
Perjalanan Selangor Pistons perlu diberi perhatian susulan menonjolkan prestasi memukau daripada saingan Divisyen 1 sehingga menempatkan diri sebagai empat pasukan terbaik Liga Premier.
Kecemerlangan itu dibayar dengan ganjaran yang tinggi apabila berjaya menempah slot dalam kejohanan tertinggi negara itu.
Meskipun mengakui selaku pasukan bukan pilihan, Selangor Pistons tetap mahu meneruskan aksi terbaik menghadapi rintangan Kumpulan B.
"Persiapan berjalan lancar di mana kami menggandakan latihan daripada hari ke hari memandangkan ini penampilan pertama kami dalam kejohanan tertinggi negara.
"Kami tiada pilihan lain selain perlu meningkatkan usaha kerana peluang ini tidak datang selalu," kata tekong pasukan, Zuhri Zain.
"Secara jujurnya, kami mensasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan dan berada di separuh akhir. Kami akan melihat perkembangan daripada perlawanan ke aksi seterusnya mengikut kepada perancangan," kata pengurus, Shahril Rashid dalam segmen tetamu jemputan Nadi Arena.
Najmi Iman
Wed Nov 06 2024