Skip to main content

Rencana

Woods tekad bangkit daripada ‘kematian’

tiger-woods-260917.jpg
Daripada penahanannya gara-gara memandu di bawah pengaruh bahan terlarang (DUI) penghujung Mei lalu, membawa kepada gempar berita palsu kematiannya baru-baru ini, Tigers Woods sudah mula memukul bola golf kembali.

Pada waktu ini, dia membataskan hayunannya kepada chip sejauh 60 ela dahulu dan berusaha menggilap pukulan puttnya bersama pemain no. 4 dunia, Justin Thomas, dan Rickie Fowler yang menduduki ranking no. 8.

Dalam pada itu, Tiger, yang kini menghuni tangga ke 1,142 – berbanding pernah beraja di kedudukan no. 1 dunia untuk sejumlah 683 minggu (kira-kira 13 tahun lamanya) -- tidak mahu tergesa-gesa untuk membuat penampilan semula dalam Jelajah PGA.

Kesakitan belakang yang berulang-ulang yang membawa kepada satu siri pembedahan dan pemulihan, menyaksikan Woods membuat hanya tiga penampilan dalam kejohanan sejak Ogos 2015 di samping kali terakhir menarik diri daripada Kejohanan Dubai Desert Classic, Februari lalu, selepas hanya satu pusingan dengan catatan 77.

Begitupun, lebih banyak khabar positif menyusul bulan lalu apabila Woods mendedahkan dia disahkan sudah boleh melakukan chip di samping menunjukkan kemajuan juara grand slam 14 kali itu semakin meniti landasan untuk bertanding semula.

60 ela? Anda mungkin berfikir apalah sangat ia dibandingkan dengan rekod pukulan terjauh Tiger dalam kariernya sejauh 420 ela dalam Kejohanan Terbuka AS 2000 di Pebble Beach dan kali terakhir dihampirinya dengan jarak 400 ela dalam Kejohanan Quicken Loans pada 2015.

“Seperti yang saya tulis pada musim panas baru-baru ini, saya masih punya beberapa perkara untuk diikhtiarkan bersama doktor-doktor saya dan itulah yang saya lakukan,” kata Woods dalam laman webnya. “Saya berasa bagus, kuat dan beransur-ansur melakukan dengan baik.”

Namun, Woods turut menerima hakikat pada usia 41 tahun kini, pemulihan adalah jauh lebih sukar berbanding pada usia mudanya.

“Berkaitan hasil pembedahan terakhir saya, ia menyenangkan untuk tidak lagi berasa sakit. Saya dapat tidur dengan lebih baik kerana tidak lagi berasa kesakitan urat hingga ke kaki. Ia benar-benar memberikan perbezaan besar.

“Saya sudah mula memukul sejauh 60 ela. Saya belum lagi membuat hayunan penuh sejak pembedahan terakhir April lalu tetapi terus melakukan chip dan putt setiap hari.

“Ia sudah mula menunjukkan hasil. Justin Thomas dan Rickie Fowler kerap mengunjungi rumah saya dan kami berlawan melakukan putt. Justin juga datang untuk berlatih melakukan chip. Ia menyeronokkan untuk meraikan kemenangannya dalam Kejohanan PGA bersama-sama.

"Saya semakin hampir kepada ujian x-ray selepas enam bulan. Sejurus pakar bedah meneliti keputusannya nanti, dia akan memberitahu saya sejauh mana yang boleh saya lakukan dalam menuju ke hadapan.

“Saya bersenam enam hari seminggu, bersilih ganti di antara treadmill, mengayuh basikal, berenang dan mengangkat berat dua kali sehari. Tona otot-otot saya beransur kembali tapi saya belum lagi kembali kepada bentuk seorang pemain golf. Itu akan mengambil masa.

"Daripada segi bermain, saya belum lagi menjangkakan apa-apa kerana saya masih tidak tahu bentuk hayunan bagaimana yang akan saya gunakan. Saya tidak tahu apa yang tubuh saya akan benarkan saya lakukan. Sehingga itu berlaku, saya akan mendengar cakap doktor-doktor saya dan mengambilnya satu langkah demi satu langkah.”

Sebagai menyimpulkan perkembangan terkininya, Woods mengungkapkan Rabu lalu: “Pembedahan ‘fusion’ yang saya jalani memberikan kelegaan serta-merta (daripada kesakitan) dan saya tidak pernah berasa sebaik ini sejak beberapa tahun kebelakangan.”

Ia harus dirasakan sudah terlalu lama sejak kejuaraan terakhir yang dimenanginya pada Ogos 2013 sambil dia bergelut dengan siri pembedahan belakang dan proses pemulihan yang panjang.

Namun, mesej yang mahu dihebahkannya kepada dunia ialah peminat golf belum lagi melihat yang terakhir daripadanya.

“Saya mahu menyatakan dengan sejelas-jelasnya, saya masih mahu bermain golf profesional,” katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video