Skip to main content

Rencana

Van Dijk kunci kejayaan Liverpool julang EPL

van-dijk.jpg
"Serang pastikan kemenangan perlawanan, bertahan pastikan anda julang gelaran." Sir Alex Ferguson merupakan salah seorang individu yang mengubah corak bola sepak Inggeris dan memacu Manchester United ke zaman kegemilangan. 

Bola sepak berubah mengikut peredaran masa tetapi ungkapannya masih kekal relevan sehingga hari ini. Ia terbukti menerusi prestasi Liverpool bagi musim 2018-19 ketika mereka berada di landasan terbaik untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekal tanpa sebarang kekalahan sehingga penghujung tahun 2018 dan diakhiri dengan kemenangan 5-1 ke atas Arsenal menyaksikan mereka mendahului takhta EPL dengan kelebihan tujuh mata ke atas Manchester City selepas 20 perlawanan.

Bagaimanapun, rentak kemenangan mereka itu berakhir apabila tewas kepada City 2-1 sebelum tersingkir daripada saingan Piala FA kepada Wolves. Mereka masih lagi kekal di puncak liga selepas melakar kebangkitan apabila mengatasi Brighton and Hove Albion dan Crystal Palace.

Liverpool memiliki barisan pemain berkualiti sebelum ini namun gagal untuk menamatkan kemarau gelaran liga sejak 27 tahun yang lalu. 

Walaupun mereka meledak jaringan dan mengatasi pasukan lawan dengan jentera serangan yang berkualiti, mereka gagal untuk mempamerkan aksi cemerlang apabila ia diperlukan. 

Apabila Jurgen Klopp tiba, beliau memastikan pertahanan tengah yang ampuh diperlukan dan Liverpool membeli Virgil van Dijk.

Segalanya berubah sejak kehadiran Van Dijk di Anfield. Walaupun kritikan ditabur kerana wang perpindahan yang tinggi diperlukan untuk menandatangani pemain tersebut, Van Dijk telah membuktikan nilainya lebih mahal daripada GBP75 juta (RM397 juta). 

Peningkatan dalam mutu pertahanan Liverpool meningkat dan mereka kini merupakan pasukan yang paling sedikit bolos bagi musim ini dengan 13 jaringan.

Salah satu masalah utama pertahanan Liverpool adalah bertahan ketika situasi bola mati. Ketenangan dan saiz fizikal dimiliki Van Dijk memastikan mereka dapat bertahan dengan baik. 

Keupayaan Van Dijk di udara seiring dengan pemain bertaraf dunia seperti Sergio Ramos tetapi perkara yang terbaik mengenai Van Dijk adalah kebijaksanaannya membaca gerakan permainan lawan dan pantas dalam melakukan keputusan. 

Dia mengetahui saat bila untuk melakukan terjahan, meletakkan dirinya dalam posisi yang baik dan menutup ruang buat penyerang lawan untuk melakukan percubaan.

Perwatakan sebagai seorang pemimpin melengkapkan kualiti yang dimliki Van Dijk. Kehadirannya ketika bergandingan bersama pertahanan muda seperti Joe Gomez dan Trent Alexander Arnold menghadirkan keyakinan. 

Van Dijk mungkin mampu menjadi pembelian terbaik Liverpool jika mereka mampu menjuarai EPL musim ini dan salah seorang pemain penting bagi mengakhiri kemarau kejuaraan yang diimpikan setiap penyokong Liverpool.

 

Advertisement

Must Watch Video