Aksi final epik bola jaring MASUM yang berlangsung di Kompleks Sukan Rakan Muda, Bukit Kiara antara Universiti Putra Malaysia (UPM Firewolf) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyaksikan UPM mengekalkan prestasi cemerlang untuk mempertahankan kejuaraan dengan keputusan akhir 32-24.

A post shared by NETBALL UPM FIREWOLF (@upmfirewolf)



UPM mendominasi permainan dari awal lagi untuk mendahului perlawanan sehingga suku terakhir. Di suku ketiga, UTM mengejar dan hampir lakukan ‘comeback’ menjadikan jurang pada ketika itu hanya 4 jaringan tetapi beberapa kesalahan dan jaringan yang tidak berjaya dihasilkan oleh penjaring dari UTM memberi peluang kepada UPM untuk menjauhkan semula mata.

‘Rivalry’ antara kedua pasukan ini memang tidak asing lagi dan sentiasa menjadi pasukan yang berada di pentas final dalam setiap Temasya Sukan Universiti yang diadakan. Jadi tidak hairanlah pertembungan kedua pasukan ini sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Tambahan lagi pemain yang mewakili dua universiti ini terdiri antaranya daripada pemain remaja yang mewakili skuad kebangsaan dan juga beraksi di Netball Super League (NSL).

A post shared by NETBALL UPM FIREWOLF (@upmfirewolf)



“Walaupun harus bermain 4 quarter dalam perlawanan akhir ini tapi pemain berjaya untuk beraksi dengan baik. Saya akur masih ada kekurangan dalam beberapa aspek yang harus diperbaiki tetapi yang penting kita tetap berjaya pertahankan kejuaraan”, reaksi pengurus pasukan UPM, Nurul Wahida Latif selepas kemenangan mereka.

Ditanya mengenai rahsia UPM dalam sentiasa mengekalkan kejuaraan, Nurul Wahida menambah lagi yang pihak UPM sentiasa mengalu-alukan kemasukan atlit bola jaring yang berpengalaman untuk menyambung pelajaran di sana. Selain itu, mereka juga sentiasa menjaga kebajikan pemain dari awal sehingga lah graduasi.

Antara pemain UPM yang menyerlah dalam perlawanan akhir ini adalah di posisi Goal Shooter (GS) Maisarah Affandi yang pernah mewakili Malaysia dalam skuad remaja kebangsaan serta posisi Center, Idha Syamimi yang beraksi bersama kelab Terengganu Marvels.

Misi seterusnya buat UPM adalah pada bulan September depan untuk merampas semula gelaran juara SUKIPT dari UiTM yang membuat kejutan dalam Temasya Sukan IPT edisi lalu buat kali pertama sejak edisi itu diadakan.