Skip to main content

Rencana

Tony Fernandes presiden FAM?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

080916-8.jpg
"Anda mahu saya jadi presiden FAM? Pergi tanya KJ (Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin). Jika mereka (FAM) mahu, saya akan memikirkannya," kata Tony ketika Majlis Meraikan Wira Asia Tenggara di Sukan Olimpik Rio 2016.

Ini bukan kali pertama saya menemubual Tony, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia.

Namun pertemuan kami di Bangkok, Thailand lebih bermakna. Kami sempat berbual selepas sidang media dan beliau menyuarakan minat untuk terbabit lebih serius dalam arena sukan.

"Saya paling kagum dengan dua atlit di Olimpik Rio iaitu Joseph Schooling (perenang Singapura) dan Azizulhasni Awang (pelumba trek negara). Mereka mempamer sesuatu yang luar biasa.

"Schooling membuktikan atlit Asia Tenggara cukup berkualiti, dia menumbangkan jaguh dunia (Micheal Phelps). Azizul pula meneroka satu acara baru untuk Malaysia. Tubuhnya paling kecil tapi mampu menaiki podium.

"Mereka beri inspirasi kepada saya untuk melakukan sesuatu yang lebih besar," kata Tony.

Saya dengar dengan teliti setiap perkataan Tony dan saya dapati, beliau memiliki aura, pemikiran dan idea luar biasa.   

Ketika majlis sambutan sedang berlangsung, terdapat kesilapan teknikal apabila kakitangannya tersilap menanda hadiah podium pemenang gangsa.

Sepatutnya, podium itu ditanda dengan "Tiket Penerbangan Percuma Dua Tahun" tetapi mereka tulis tiga tahun.

Apa tindakan Tony? 

"Saya baru perasan terdapat kesilapan ternikal untuk hadiah pemenang gangsa. Perbezaan satu tahun akan memerlukan kos besar. Tapi saya sayangkan kakitangan saya, mereka bekerja keras untuk majlis ini.

"Jadi saya naikkan hadiah kepada tiga tahun," katanya sambil menerima tepukan gemuruh.

Bayangkan individu ini berada dalam FAM. Jika tidak presiden, apa-apa jawatan sekalipun pasti akan beri impak positif.

Sebelum saya terlupa, kelabnya, Queens Park Rangers sedang menghuni tangga kelima Liga Kejuaraan Inggeris dan beliau juga pernah memiliki pasukan Formula Satu, Lotus Racing.

Kongres Pemilihan FAM pula akan berlangsung, tahun depan.  
 

Advertisement

Must Watch Video