Skip to main content

Rencana

Sukan SEA 1995: Kisah Azmi, Watson & olahraga

watson-azmi.jpg
Sukan Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai Sukan SEA bakal memasuki edisi ke-30 di Filipina bermula Ahad ini. Saya terbabit dengan membuat liputan Sukan Sea pada 1995 di Chiangmai, ketika saya masih boleh dianggap sebagai ‘rookie” dalam bidang kewartawanan sukan. Ia Sukan SEA pertama saya dan pengalaman membuat liputan sukan bertemasya ini banyak membantu saya dalam temasya-temasya berikutnya.

Sukan SEA mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Dan izinkan saya untuk sekadar berkongsi cerita pahit / manis, gelak ketawa termasya-temasya lalu untuk santapan pembaca sepanjang Temasya Sukan Sea ke-30 di Filipina ini berlangsung.

Cerita yang ingin saya bawakan ialah mengenai dua jaguh olahraga negara pada tahun 1995, Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim. Kedua-dua pelari ini bersaing hebat untuk gelaran pelari pecut nombor satu negara dan sukar memisahkan kedua-duanya.

Beberapa bulan menuju Sukan SEA 1995 di Chiangmai, kedua-dua pelari ini beraksi  di Kejohanan Trek & Padang Asia di Jakarta dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pelari akhir. Malangnya nasib tidak menyebelahi kedua-duanya apabila gagal meraih pingat dengan Azmi menduduki tempat keempat.

Tetapi kedua-duanya adalah peserta tunggal Asia Tenggara yang layak ke final sekaligus menjadikan mereka pilihan untuk raih pingat emas di Chiangmai 1995 serta gelaran raja pecut Asia Tenggara. Namun, malang menimpa sebaik acara olahraga bermula apabila di separuh akhir 200 meter, Watson mengalami kecederaan hamstring, memaksanya menamatkan aksi di temasya itu.

Tinggallah Azmi keseorangan dan jelas pelari ini dalam tekanan tinggi berlari keseorangan tanpa Watson. Sudah nampak di wajah Azmi akan tekanan apabila dalam acara akhir 200 meter dia sekadar meraih gangsa.

Dan dalam final 100 meter, Azmi diapit sebelah kiri & kanan dua pelari Thailand, dengan salah seorang daripadanya adalah pelari terkemuka, Reanchai Seeharwong aka 'The Ultraman'. Permulaan pertama dibatalkan disebabkan kesilapan permulaan salah seorang pelari Thailand, satu permainan psikologi untuk mengganggu Azmi dan ia ternyata berhasil apabila pada perlumbaan sebenar Azmi sekadar hanya mampu raih pingat perak.

Azmi dan Watson selepas itu gagal untuk raih emas di Sukan SEA sama ada dalam acara 100, 200 mahupun 4x100 meter. Ia turut menyaksikan olahraga tampil dengan aksi hambar apabila sekadar meraih 7 emas berbanding 14 di Singapura, dua tahun sebelumnya.

Drama olahraga turut tidak terhenti di dalam balapan tetapi juga di luar stadium.  Kontinjen negara dikejutkan dengan berita 2 atlit olahraga dihantar pulang gara-gara isu disiplin.

Banyak lagi cerita-cerita menarik Temasya 1995 ini,  seperti skuad sepak takraw dikejutkan oleh Singapura di separuh akhir serta Thailand yang memperkenalkan kepada dunia akan servis kuda.

Serta kekecewaan skuad bola sepak yang dilatih jurulatih Perancis, Claude le Roy tersingkir di peringkat kumpulan dikejutkan dengan kebangkitan Vietnam serta Indonesia.

Tetapi cukup setakat ini, InsyaAllah akan saya bawakan cerita menarik Temasya 1997 Jakarta pada nukilan berikutnya.

Advertisement

Must Watch Video