Skip to main content

Rencana

Siapa Pulak Lepas Ni ?

real-madrid-real-soc_e16e599.jpg

Real Madrid dilihat begitu terkesan dengan pemergian Cristiano Ronaldo dan pengendali mereka, Zinedine Zidane apabila  bergelut untuk mengekalkan prestasi terbaik di La Liga. Permulaan musim 2018/2019 buat Los Blancos  dilihat kurang memberangsangkan di bawah bimbingan bekas jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui yang akhirnya dipecat pada Oktober 2018 selepas kekalahan memalukan 5-1 kepada seteru mereka,  Barcelona.

Kerusi panas itu kemudiannya diisi bekas pemain Real Madrid sendiri, Santiago Solari yang pada mulanya dilihat berjaya mengembalikan rentak kemenangan buat Real Madrid. Namun ianya bukanlah satu tugas yang mudah. Pengendali berasal dari Argentina itu dilihat kini bergelut untuk membawa Real Madrid kembali ke prestasi semasa apabila kini sekadar menduduki tangga kelima di belakang Barcelona, Atletico Madrid, Sevilla dan Deportivo Alaves.

Advertisement

Terbaru, Real Madrid tewas mengejut di Santiago Bernabeu kepada Real Sociedad 0-2 yang sekaligus meletakkan kedudukan Solari dalam posisi bahaya. Kekalahan keenam di liga itu ternyata dimanfaatkan sepenuhnya pendahulu liga, Barcelona yang terus mencatatkan kemenangan dengan kini mengutip 40 mata secara keseluruhan di liga.

Persoalannya kini, adakah Solari akan kekal dengan jawatannya atau mungkin akan ada calon baru mengisi kerusi panas itu?

Pada pendapat penulis, apa yang pasti, agak sukar buat Real Madrid untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian musim lalu. Mungkin dalam saingan liga juara-juara eropah, Real Madrid masih lagi menjadi pilihan utama, namun dalam saingan domestik di Sepanyol, mereka memerlukan magis untuk kembali merebut kedudukan teratas liga. Manakala bagi jawatan ketua jurulatih, Real Madrid selaku pasukan elit, seharusnya memilih jurulatih yang mempunyai profil memberangsangkan memandangkan bukan mudah mahu mengendalikan pasukan yang diwakili ramai pemain ternama dunia. Nama seperti Laurent Blanc mahupun Mauricio Pocchetino seharusnya ada dalam pertimbangan mereka.

Dalam masa sama, Real Madrid berjaya membeli bintang sedang meningkat naik, Brahim Diaz dari Manchester City dengan harga 24 juta euro untuk tempoh enam tahun. Pemain berusia 19 tahun itu menyertai City pada 2013 dari Malaga, namun kesukaran merebut tempat menyebabkan beliau mahu kembali semula ke Sepanyol.

Must Watch Video