Skip to main content

Rencana

Semangat Supermokh tidak akan pudar

mokh.jpg
Tanggal 11 Julai Sabtu lalu, genap 29 tahun legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari meninggalkan kita.

Biarpun sudah hampir tiga dekad arwah Mokhtar meninggalkan kita, kehebatan penyerang legenda ini masih diperkatakan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan sehingga hari ini.

Penulis tidak sempat mengenali arwah secara peribadi namun, peluang melakukan laporan khas mengenai arwah Mokhtar pada 2016 memberi peluang buat penulis mengenal ahli keluarga arwah Mokhtar.

Menerusi mereka, sedikit sebanyak ia memberi penulis pemahaman lebih jelas terhadap personaliti insan bernama Mokhtar Dahari.

Ternyata arwah Mokhtar seorang yang cukup komited, disiplin, mempunyai watak kepimpinan dan juga seseorang yang bermain bola sepak “For The Love of Ghe Game”.

Kini, pusat kecemerlangan bola sepak negara yang dikendalikan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di Gambang iaitu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut dinamakan selepas arwah Mokhtar.

Sudah pasti kita mengharapkan graduan-graduan dan para pelatih AMD hari ini akan turut menjiwai semangat serta komitmen yang pernah ditonjolkan Mokhtar Dahari ketika beliau menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

Pencapaian terbaik arwah Mokhtar di pentas antarabangsa ialah meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 Tehran (ketika itu skuad bola sepak ke Sukan Asia dibarisi skuad senior).

Arwah Mokhtar sebenarnya seseorang yang juga sentiasa membimbing pemain-pemain muda ketika dia menjadi pemain senior dalam skuad negara dan Selangor.

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan dan bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal antara yang pernah mendapat tunjuk ajar arwah Mokhtar ketika mula mencipta nama sebagai pemain dulu.

Malah Zainal pernah berkata kepada penulis, arwah Mokhtar sebenarnya yang mencadangkan Zainal bergandingan dengan Dollah Salleh di bahagian serangan selepas beliau bersara.

Selepas pemergian arwah Mokhtar pada 1991, beberapa pemain pernah dicanang sebagai penggantinya selaku penggempur utama Harimau Malaya.

Hakikatnya bukan mudah mencari penyerang berbisa setahap dengan Mokhtar Dahari, apatah lagi di era kini di mana kebanyakan pasukan Liga M menggunakan penyerang import.

Namun, ketiadaan penyerang nombor sembilan tidak bermakna barisan negara tidak mampu mencapai kejayaan.
Permainan bola sepak moden kini tidak lagi terlalu bergantung kepada penyerang dalam mencari jaringan kerana ia adalah permainan sepasukan.

Malah skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe kini juga tidak terlalu bergantung kepada penyerang meraih gol dengan adanya pemain sayap seperti Safawi Rasid, pemain tengah menyerang seperti Syafiq Ahmad dan Brendan Gan yang mampu muncul penjaring.

Malaysia juga ketika ini berada dalam kedudukan cukup baik untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Jadi mungkin kelibat Mokhtar Dahari selaku penyerang utama sukar diganti namun, setiap pemain yang menyarung jersi keramat negara perlu memiliki semangat juang serta komitmen beliau apabila beraksi.

Buat pemain-pemain negara kini, pastikan aura 'Supermokh' bersama Harimau Malaya tidak sesekali terpadam ketika berjuang membawa cabaran negara.

Advertisement

Must Watch Video