Skip to main content

Rencana

Selangor sedia cabar kejuaraan musim 2020?

ifedayo.jpg
Selangor seakan-akan sudah bersedia untuk mencabar Liga Malaysia (Liga-M) dengan kemasukan beberapa nama besar menjelang musim baru ini.

Selepas menamatkan Liga Super di tangga ketiga selain mara sejauh pusingan ketiga Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, skuad Gergasi Merah itu seakan-akan sudah bersedia untuk meng'qada' sasaran satu piala yang dicanang sepanjang musim lalu itu dengan kemasukan beberapa nama-nama besar.

Di bahagian serangan, Selangor akan kembali mendapatkan sentuhan penyerang prolifik dan penjaring terbanyak Liga Super musim 2018, Rufino Segovia, selain seorang lagi pemain yang berehat panjang musim lalu, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Kedua-dua penyerang sensasi itu akan turut dibantu oleh dua tonggak import, Ifedayo Olusegun dan Sandro Da Silva.

Paling menarik adalah kekuatan di bahagian tengah skuad kendalian B. Sathianathan itu yang akan diperkuatkan dengan perancang skuad kebangsaan, Brendan Gan.

Brendan turut ditemani seorang lagi bekas pemain tengah Perak, Nor Hakim Hassan, dan pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin.

Sudah pasti kedatangan pemain-pemain baru itu akan meningkatkan persaingan dalam merebut kesebelasan utama yang sebelum ini diisi Abdul Halim Saari, K. Sarkunan, Sean Selvaraj, Khyril Muhymeen Zambri dan Syazwan Zainon.

Musim lalu menyaksikan kerapuhan di benteng pertahanan menyekat impian skuad Merah Kuning itu untuk mendakap sekurang-kurangnya satu piala, namun mereka seakan-akan sudah menemui penawar itu dengan kemasukan dua pemain berdarah kacukan daripada PKNS FC -- yang disatukan dibawah naungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai Selangor II musim ini.

Dua pemain itu adalah pertahanan berdarah Malaysia-Ghana, Rodney Celvin Akwensivie, dan pemain berstatus 'warisan' kelahiran Manchester, Nick Swirad.

Selain itu, mereka turut mengekalkan khidmat Taylor Regan dan pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari, selain K. Kannan yang sebelum ini dipinjamkan kepada PKNS FC.

Penjaga gol utama, Khairul Azhan Khalid, turut dilihat sedang berada dalam kemuncak prestasi selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan dan dia akan dibantu oleh seorang lagi penjaga gol berpengalaman, Farizal Harun, dan bekas benteng akhir PKNS FC, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Dengan adanya Selangor II (sebelum ini PKNS FC) sebagai pasukan sokongan buat skuad utama musim ini, Selangor akan memiliki kelompok pemain lebih besar yang boleh diserapkan ke dalam skuad utama pada bila-bila masa.

Dan skuad itu juga akan dipenuhi dengan tonggak-tonggak yang membantu pasukan B-19 negara mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19, antaranya Ahmad Zikri Khalili dan Muhairi Ajmal Mahadi.

Daripada segi barisan pemain, Selangor memiliki skuad yang jauh lebih ampuh berbanding musim lalu untuk mencabar mana-mana kejuaraan dan ia kini terpulang kepada Sathianathan untuk merencanakan percaturan terbaik buat pasukan itu menyudahkan misi menjulang satu piala yang gagal dilaksanakan musim lalu.

Lebih-lebih lagi, penyokong Selangor sudah pasti mendahagakan gelaran yang kali terakhir diraih dengan kejuaraan Piala Malaysia pada 2015.


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video