Skip to main content

Rencana

Ronaldo juga akur Serie A liga paling mencabar

ronaldo.jpg
Siapa yang tidak mengenali Cristiano Ronaldo?

Bintang bola sepak dunia itu memegang rekod pengikut Instagram paling banyak di dunia dengan lebih daripada 194 juta telah mengikuti akaun dengan tanda nama @cristiano itu.

Sepanjang karier gemilangnya, Ronaldo telah menempa nama di tiga negara Eropah, iaitu England, Sepanyol dan yang terkini, Itali.

Sepanjang di England, Ronaldo, yang menyertai Manchester United pada 2003, telah menjaringkan 118 gol daripada 292 penampilannya dan menggenggam 3 gelaran Liga Perdana Inggeris, dua dalam Piala Liga Inggeris serta masing-masing satu dalam Piala Dunia Kelab, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Perisai Komuniti.

Selepas itu, dia menyertai pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid, dengan rekod perpindahan tertinggi, €94 juta (RM430.98 juta) pada 2009.

Tempoh sembilan tahun bersama skuad Los Blancos itu merupakan era paling gemilangnya, di mana dia menjaringkan 450 gol daripada 438 penampilannya.

Dalam tempoh itu juga, dia telah menjulang empat piala Liga Juara-Juara Eropah, tiga kejuaraan Piala Dunia Kelab, dua gelaran LaLiga, Copa del Rey (2), Piala Super Sepanyol (2), dan Piala Super UEFA (2).

Selain itu dia turut melengkapkan lima gelaran Ballon d'Or sebelum mengejutkan dunia dengan perpindahan ke Itali pada Julai tahun lalu.

Juventus menjadi pilihan penjaring gol sepanjang zaman Real Madrid itu dengan dia mencipta impak segera untuk mengekalkan gelaran 'scudetto' kelapan berturut-turut buat skuad Bianconeri itu selepas menjulang Piala Super Itali.

Jelas pencapaiannya di Itali tidaklah segah seperti sewaktu di Sepanyol mahupun England dan ia mungkin menjadi punca mengapa Ronaldo menyifatkan Serie A sebagai liga paling sukar di dunia.

Oktober lalu, Ronaldo dilihat ada berbincang sesuatu dengan seorang lagi bekas penyerang United, Romelu Lukaku, selepas Juventus melayani kunjungan Inter Milan dalam saingan Serie A.

Dan menerusi satu temu bual The New York Times baru-baru ini, penyerang kebangsaan Belgium itu mendedahkan apa yang diberitahu Ronaldo kepadanya selepas perlawanan itu.

"Dia (Ronaldo) memberitahu saya bahawa ini (Serie A) adalah liga secara bertahan paling sukar di dunia,"katanya seperti yang dipetik Soccerladuma.

"Dia berkata dia pernah menjaringkan gol di mana-mana tetapi ini adalah tempat paling sukar untuk melakukannya.

"Dan jika Ronaldo fikir ia sukar, ia pasti amat sukar."

Lukaku turut bersetuju dengan Ronaldo dengan berkata liga di negara itu lebih mencabar berbanding di England

"Ia lebih sukar berbanding di England," katanya seperti yang dipetik Fox Sports.

"Bola sepak di sana (England) lebih mendebarkan tetapi di Itali, segala-galanya mengenai gaya permainan."

Advertisement

Must Watch Video