Skip to main content

Rencana

Petanda positif buat Harimau Malaya?

malaysia-piala-aff.jpg
4-0. Itu jumlah jaringan yang perlu dihasilkan oleh skuad bola sepak negara jika Myanmar menewaskan Vietnam 1-0 dalam pertemuan di Stadium Thuwunna, Yangon, pada Selasa.

Mujur, perkara itu tidak berlaku apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan untuk berkongsi satu mata sekaligus menjadikan perebutan juara kumpulan A Piala Suzuki AFF 2018 masih terbuka luas.

Myanmar dan Vietnam terikat dengan tujuh mata, diiekori rapat Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata sekaligus menyaksikan pertembungan terakhir menjanjikan aksi lebih sengit bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Perkembangan ini pastinya melegakan kem bola sepak Malaysia apabila perlu menewaskan Myanmar tanpa jumlah jaringan besar.

Walaupun keputusan seri tidak memihak skuad negara, situasi ini setidak-tidaknya mengurangkan tekanan kepada barisan pemain kerana tampak mustahil sebenarnya untuk mengatasi Myanmar dengan jumlah jaringan besar.

Justeru, kini pemain negara harus memikirkan bagaimana untuk mereka mengutip tiga mata penuh ke atas lawan dalam perlawanan terakhir kumpulan A yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sememangnya, ia bukan tugas mudah kerana Myanmar bukan calang-calang pasukan, malah skuad negara pernah tewas 0-1 kepada lawan pada edisi 2016 sekaligus tersingkir daripada kejohanan.

Namun, berbekalkan sokongan padu peminat di Bukit Jalil disamping corak permainan positif skuad Harimau Malaya kini, saya percaya barisan pemain negara mampu keluar sebagai pemenang dalam aksi getir itu nanti.

Mereka harus kekal fokus dengan menjadikan kekalahan 0-2 kepada Vietnam di Hanoi tempoh hari sebagai pemangkin untuk kembali bangkit mengaum di hadapan penyokong sendiri yang dijangka membanjiri stadium.

Usah peduli kritikan netizen kerana hanya kemenangan sahaja mampu menutup mulut mereka, jadi ayuh buktikan kemampuan anda menerusi keputusan positif Sabtu ini!

Advertisement

Must Watch Video