RENCANA
Petanda Positif buat Bola Sepak Malaysia
Pemain-pemain skuad B-22 tahun negara yang mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dikhabarkan kini mula dipancing oleh beberapa pasukan tempatan.
Bukan setakat itu, jika benar andaian media tempatan mengenai beberapa nama pemain yang kini diintai oleh kelab dari luar negara itu, ia merupakan satu berita yang amat baik.
Dikhabarkan nama seperti Adam Nor Azlin, N. Thanabalan, Azam Azih dan beberapa nama lagi mula menjadi perhatian kelab luar negara terutama dari Thailand. Perkembangan ini dilihat amat baik untuk mempertingkatkan kualiti bola sepak negara di masa akan datang.
Iklan
Turut berkongsi rasa gembira tentunya Datuk Ong Kim Swee yang berharap pemain-pemainnya bersedia andai terpaksa berhijrah ke negara luar untuk bermain bola sepak. Bagi Kim Swee, biarpun minat itu hadir dari kelab negara jiran, ianya sudah cukup bagus. Sekurang-kurangnya kelab luar boleh melihat dan percaya akan kemampuan pemain negara kita.
Penulis turut berbangga untuk melihat mereka beraksi di luar Malaysia, namun penulis percaya bukan mudah untuk beraksi dengan baik luar dari pentas tempatan atas pelbagai faktor luar padang.
Sebagai contoh,lihat sahaja dahulu Nazmi Faiz dan Wan Zack Haikal yang beraksi di Portugal dan Jepun, mereka boleh bermain dengan baik, namun faktor luar seperti pemakanan, “home sick” dan sebagainya menyaksikan prestasi mereka merudum sehingga terpaksa pulang semula ke tanah air.
Tiada gunanya beraksi di luar dan dalam masa singkat pemain kembali semula ke tanah air atas alasan-alasan remeh yang seharusnya tidak timbul sebagai seorang pemain yang profesional.
Tambahan pula, minat yang ditunjukkan kelab luar terhadap pemain negara adalah berasal dari Thailand, jadi penulis percaya cuaca, pemakanan dan suasana tidaklah begitu jauh berbeza.
Jika rindukan keluarga di Malaysia sekalipun, perjalanan yang perlu ditempuh tidaklah terlalu lama.
Gambar kredit: Facebook FAM
Must-Watch Video