Skip to main content

Rencana

Pergolakan di Arsenal lebih teruk daripada disangka

sanchez_2.jpg
Pergolakan di kem Arsenal bukan lagi satu rahsia.
 

Permulaan buruk pada pembukaan musim mencetuskan api kemarahan peminat kepada pengurus, Arsene Wenger, malah ahli lembaga pun turut terkena tempiasnya.
 
Selepas dimalukan Liverpool 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, segala-galanya tampak bercelaru di semua bahagian.
 
Khabar angin bertiup kencang mengenai pemain bergaduh sesama sendiri sehingga Wenger hilang kawalan terhadap pemainnya di bilik persalinan.
 
Empat pemain utama Arsenal kini dalam situasi yang paling tidak diinginkan para peminat.
 
Alexis Sanchez dalam kemurungan selepas gagal berpindah, Shkordan Mustafi dan Hector Bellerin mahu berpindah, malah Mesut Ozil masih belum menandatangani kontrak baru.
 
Surat terbuka Ozil ketika meraikan tahun keempat bersama The Gunners, sedikit melegakan para peminat seluruh dunia.
 
Malah, dia turut menegur legenda Arsenal yang berterusan mengkritik pasukan ini di laman sosial dan media.
 
Thierry Henry, Ian Wright dan Martin Keown adalah antara legenda yang kerap memberi kritikan terhadap aksi terumbang-ambing ketika ini.
 
Kenyataan Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis, baru-baru ini seperti menyimbah petrol ke dalam api.
 
"Selepas tertutupnya jendela perpindahan, kita sekali lagi berjaya meningkatkan kekuatan dan  kualiti pasukan" -- tulis Gazidis dalam emel kepada staf dan para pemain
 
"Kejayaan mengekalkan Sanchez dan Ozil dalam pasukan membuktikan matlamat kami, malah menangkis kenyataan mengatakan kelab ini hanya memikirkan keuntungan."
 
Bagi penulis, ia satu kenyataan kurang bijak. Selepas kegagalan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim ini, Wenger menegaskan akan berbelanja besar membawa beberapa pemain berkelas dunia.
 
Namun hanya dua pemain dibawa masuk, salah seorang secara percuma. 
 
Malah Arsenal, bersama-sama Burnley, Stoke City, Spurs dan Swansea menjana keuntungan selepas jendela  perpindahan ditutup hasil pembelian dan penjualan pemain.
 
Ketika pencabar utama lain mengeluarkan belanja besar seperti Manchester City (£221.5juta), Manchester United (£145.8juta) dan Chelsea (£185.4juta), Arsenal hanya membelanjakan £48.8juta, sebaliknya berjaya mendapat £65.7juta hasil penjualan pemain.
 
Pendedahan wartawan sukan BBC, David Ornstein, dalam laman twitternya menambah polemik yang berlaku.
 
Ornstein antara wartawan yang mempunyai kredibiliti dalam menyampaikan cerita dalaman kelab utara London ini.
 
Antara pendedahannya ialah :
 
1. Had bajet yang sedikit dialami Arsenal untuk membawa masuk pemain baru dan membayar gaji mereka.
2. Beberapa pemain utama mendapat bidaan kelab lain, namun pemain seperti Olivier Giroud dan Jack Wilshere mengambil keputusan untuk kekal.
3. Bellerin dan Mustafi mahu keluar, Oxlade-Chamberlain menolak kontrak baru, malah tiada perbincangan kontrak baru di antara kelab dan Ozil sejak Mac lalu.
4. Pemilik kelab, Stan Kroenke, terdesak mahukan piala, namun tidak mahu  menyuntik dana tambahan, sebaliknya mengharapkan modal sedia ada.
 
Apa pilihan yang Wenger ada ketika ini? Di sekelilingnya ialah ahli lembaga pengarah yang terus mendesak untuk memenangi liga, para pemain yang mahu keluar, dan peminat serta bekas pemain yang terus mengkritik pasukan.
 
Alahai Wenger, sepatutnya anda boleh berundur dengan penuh penghormatan selepas memenangi Piala FA musim lalu.

Advertisement

Must Watch Video