Skip to main content

Rencana

Peledak paling berbisa Eropah

cover.jpg
Saingan liga-liga utama Eropah, khususnya Liga Perdana Inggeris, Bundesliga, LaLiga, Serie A dan Ligue 1 kini sudah tiba ke fasa separuh musim.

Jika sumbangan individu dijadikan perhatian, tumpuan sudah pasti terarah kepada senarai penjaring terbanyak bagi setiap liga tatkala ia mampu menentukan haluan setiap kelab dalam mencapai kejayaan pasukan masing-masing.

Berdasarkan laporan FotMob.com, berikut adalah penjaring terbanyak bagi lima liga utama Eropah.



Liga Perdana Inggeris -- Jamie Vardy (Leicester City)

Di bawah bimbingan Brendan Rodgers, bekas penggempur England itu telah menghasilkan 17 gol dalam saingan liga domestik. Dia juga masih memegang rekod menghasilkan jaringan dalam 11 perlawanan berturut-turut di pentas Liga Perdana Inggeris -- memadamkan catatan 10 gol milik bekas peledak Manchester United, Ruud van Nistelrooy -- ketika membantu The Foxes mencipta kejutan bergelar juara England bagi musim 2015-16. Musim ini dia memainkan peranan utama dalam membantu Leicester mengejar pendahulu, Liverpool, tatkala pengendali The Reds, Jurgen Klopp, menyifatkannya sebagai salah seorang daripada tiga penyerang terbaik England sejak pengurus dari Jerman itu hadir ke Anfield.

Bundesliga -- Robert Lewandowski (Bayern Munich)

Pernah empat kali muncul penjaring terbanyak Bundesliga sewaktu memperkuatkan Borussia Dortmund dan Bayern Munich, ayam tambatan Poland itu sekali lagi unggul musim ini apabila mendahului senarai selepas 17 perlawanan dengan 19 gol. Biarpun dicabar hebat penggempur RB Leipzig, Timo Werner, yang mengutip 18 gol, Lewandowski bakal bergelar penjaring terbanyak Eropah bagi tahun ini sekiranya catatan 54 gol dalam 58 perlawanan tidak dicabar oleh mana-mana pemain sehingga tengah malam 31 Disember ini. Malah, dia juga berpeluang memecahkan rekod milik Harry Kane (Tottenham Hotspur) yang melakar 56 gol dalam 52 perlawanan, dua tahun lalu.



LaLiga -- Lionel Messi (Barcelona)

Tidak mengejutkan, Messi mengungguli carta penjaring terbanyak LaLiga selepas 18 perlawanan dengan 13 gol. Malah, dia mencatat kadar 83 minit bagi setiap gol yang dihasilkan walaupun terlepas kempen awal musim akibat kecederaan. Messi tentunya mahu mengatasi pencapaian terbaiknya di pentas LaLiga selepas mencatat kadar 1.44 gol dalam 38 perlawanan ketika musim 2012-13. Apa yang menarik, kapten Argentina itu juga unggul musim ini dengan enam bantuan gol, berkongsi tangga teratas dengan rakan sepasukannya, Luis Suarez, Ever Banega (Sevilla) dan penyerang utama Valencia, Rodrigo.

Ligue 1 -- Wissam Ben Yedder (AS Monaco)

Tatkala tumpuan saingan liga di Perancis terarah kepada trio Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, Neymar dan Mauro Icardi, Ben Yedder mencuri perhatian menerusi 13 jaringan yang dihasilkan. Walaupun mengharungi musim sulung di Perancis sejak hadir ke Stade Louis II pada Ogos lalu, bekas penggempur Sevilla itu tetap unggul biarpun Monaco bergelut untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas Ligue 1. Jumlah 13 gol mungkin bertambah sekiranya dia menyempurnakan baki sembilan peluang yang diraih seperti yang direkodkan dalam FotMob.com.



Serie A -- Ciro Immobile (Lazio)

Sewaktu Cristiano Ronaldo hadir ke Itali musim lalu, Immobile melahirkan kelegaan kerana dia sempat memenangi anugerah penjaring terbanyak Serie A pada tahun sebelumnya, berkongsi 29 gol dengan Icardi yang mewakili Inter Milan ketika itu. Namun, ternyata ia bukan petanda bahawa penyerang yang pernah melalui tempoh mengecewakan bersama Borussia Dortmund itu mengibarkan bendera putih apabila dia hanya memerlukan 16 perlawanan untuk meledakkan 17 gol di pentas domestik. Jika prestasi cemerlang diteruskan penggempur utama Itali itu, tidak mustahil dia mampu mengungguli Capocannoniere buat kali ketiga selepas turut muncul penjaring terbanyak sewaktu musim 2013-14.

Advertisement

Must Watch Video