Skip to main content

Rencana

MotoGP 2019 musim paling menarik buat rakyat Malaysia

sic-racing-team.jpg
Kalendar MotoGP musim 2019 akan membuka tirai pada 8 Mac depan dan buat sekalian rakyat Malaysia, percayalah, musim ini akan menjadi musim paling menarik untuk anda semua saksikan.

Buat kali pertama dalam sejarah MotoGP, Malaysia akan mempunyai satu pasukan -- yang dikelolakan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) -- dalam setiap kategori.

Jadi, apakah yang mampu ditawarkan kesemua pasukan itu musim ini?

Ayuh, kita tinjau apa yang bakal berlaku daripada kategori bersesaran paling kecil (Moto3) hingga ke bersesaran paling besar (MotoGP).

Selepas kehilangan pelumba berhati waja, Adam Norrodin, ia membuka peluang buat Ayumu Sasaki untuk membuktikan sesuatu musim ini selepas dua tahun menyesuaikan diri dengan jentera Honda NSF250RW milik pasukan Petronas Sprinta Racing dalam kategori Moto3.

Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan musim lalu di kedudukan ke-20 dengan mengumpul 50 mata tanpa sebarang kedudukan podium.

Musim ini, dia akan digandingkan dengan pelumba berbakat kelahiran Scotland, John McPhee, yang mempunyai tujuh tahun pengalaman beraksi di pentas Moto3 selain turut pernah beraksi dalam kategori 125cc pada dua tahun sebelumnya.

Menarik juga untuk menyaksikan dua pelumba luar membawa cabaran Malaysia dalam kategori itu.

Ia pasti akan memberikan keterujaan berbeza musim ini.

Dalam kategori Moto2, raja litar basah, Khairul Idham Pawi, akan memperkuatkan pasukan Petronas Sprinta Racing.

Jika dilihat, peralihan yang dilalui pelumba dengan gelaran "SuperKIP" itu daripada kategori Moto3 ke Moto2 tidaklah begitu baik.

Khairul Idham pernah meraih dua kejuaraan dalam Moto3 musim 2016 -- GP Argentina dan Jerman.

Namun, dia gagal untuk mengulangi pencapaian itu sejak mewakili Idemitsu Honda Team Asia bermula dua musim lalu.

Khairul Idham meraih tangga ke-27 dengan 10 mata dalam musim pertama kategori Moto2.

Musim lalu, dia terperosok di tangga ke-30 dan hanya memperoleh satu mata kejohanan.

Jelas Khairul Idham, dia sering kali tidak mendapat penalaan terbaik daripada bekas pasukannya itu yang berpunca daripada faktor komunikasi.

Kini, dengan beberapa tenaga tempatan dalam Petronas Sprinta Racing, SuperKIP sepatutnya sudah tiada alasan untuk memaparkan tunggangan yang lebih berkesan musim ini.

Buat julung-julung kalinya, Malaysia akan mempunyai pasukan dalam kategori perdana, MotoGP.

Dengan membawa nama Petronas Yamaha SRT, pasukan yang menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 itu akan diperkuatkan dengan Muka Baru Terbaik Tahunan musim lalu, Franco Morbidelli, dan pelumba muda kelahiran Perancis, Fabio Quartararo.

Morbidelli merupakan pelumba baru paling berpotensi musim lalu.

Dia menamatkan kalendar kejohanan dengan kedudukan ke-15 dengan mengumpulkan 50 mata.

Juara Moto2 musim 2017 itu akan digandingkan dengan pelumba berusia 19 tahun, Quartararo.

Keupayaan Quartararo pasti akan teruji dalam penampilan pertamanya dalam kategori perdana.

Apatah lagi, dia mewakili pasukan SRT yang baru ditubuhkan itu.

Namun, mungkin dia boleh memperoleh sesuatu daripada Morbidelli untuk bergelar seorang lagi Muka Baru Terbaik Tahunan kali ini.

Menarik bukan?

Tapi, tunggu dulu.

Tidak lengkap sekiranya kita berbincang mengenai MotoGP tanpa melibatkan pelumba nombor satu negara, El-Pescao Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin hampir sahaja merampas Anugerah Muka Baru Terbaik Tahunan daripada Morbidelli musim lalu.

Malangnya, dia hanya kekurangan empat mata di belakang seterunya itu untuk berpuas hati menamatkan musim di kedudukan ke-16.

Walaupun hanya diberikan waktu yang singkat untuk dia menyesuaikan diri dalam musim pertamanya itu, dia masih mampu meraih empat kedudukan 10 terbaik (GP Argentina, Jepun, Malaysia dan Valencia) untuk sekali lagi diberikan mandat sebagai penunggang pasukan Tech3 yang kini bernadikan jentera KTM RCK16.

Keupayaan Hafizh Syahrin untuk mengendalikan jentera baru itu pasti menarik untuk disaksikan peminat sukan permotoran tempatan.

Tiga kategori utama sudah dibincangkan, namun tahukah anda Malaysia turut mempunyai pasukan dalam kategori MotoE yang baru diperkenalkan musim ini?

Perlumbaan motosikal yang dikuasakan dengan tenaga eletrik itu menyaksikan pasukan negara, One Energy Racing, akan mempertaruhkan pelumba berpengalaman kelahiran England, Bradley Smith.

Sebagai rekod, Smith pernah beraksi dalam kategori MotoGP dari musim 2013 hingga 2018 dan pernah meraih kejuaraan Pelumbaan Lapan Jam Suzuka pada 2015.

Jadi rakyat Malaysia, adakah anda sudah teruja?

Advertisement

Must Watch Video