Skip to main content

Rencana

Menanti WWE Royal Rumble dengan penuh debaran

royal-rumble.jpg
Acara WWE Royal Rumble merupakan sebuah acara tahunan yang sememangnya amat dinantikan oleh seluruh peminat gusti seantero dunia. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, ia ibarat “hari raya” buat pencinta sukan hiburan ini kerana saban tahun, ia terus mencipta kejutan demi kejutan dan mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Membuka tirai tahun baharu sebagai acara pay per view pertama dalam kalendar tahunan WWE, edisi 2019 kali ini juga tiada bezanya. Seakan menjadi tradisi setiap kali ia bakal berlangsung, para peminat mula berspekulasi siapakah yang akan menjadi peserta kejutan untuk kali ini bagi menambah elemen dramatik dalam perlawanan tempur raksasa tersebut.



Setakat laporan ini ditulis, beberapa nama telah disahkan akan menyertai perlawanan penyingkiran Royal Rumble kali ini. Muka-muka baharu dan lama dari Raw, Smackdown Live dan juga NXT akan seiring bertarung sesama sendiri bagi merebut tempat sebagai individu terakhir berada di dalam gelanggang, sebelum berpeluang menjadi pencabar utama Kejuaraan Universal atau WWE di acara Wrestlemania pada 8 April depan.

Randy Orton, Dean Ambrose, Seth Rollins, Samoa Joe, Drew McIntyre, Kofi Kingston, Big E, Xavier Woods, Apollo Crews, Baron Corbin, Elias, Jinder Mahal, Jeff Hardy, Juara Antara Benua Bobby Lashley, Titus O’ Neil, Andrade, Rey Mysterio dan Mustafa Ali antara yang telah disenaraikan akan terlibat tahun ini.

Sayang sekali Juara Dunia 16 kali John Cena terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir akibat dibelenggu kecederaan semasa bertarung di acara Raw minggu lalu. Manakala Braun Strowman yang dilucutkan kelayakan sebagai pencabar utama Kejuaraan Universal untuk menentang Brock Lesnar juga masih berteka-teki sama ada akan turut terlibat dalam perlawanan Royal Rumble ini kelak atau sebaliknya.

Yang paling beruntung semestinya jaguh veteran R Truth yang sah menempah slot di kedudukan terakhir iaitu 30 setelah memenangi Kejohanan Beregu Campuran bersama Carmella lewat Disember lalu.

Jika kita hitung setiap nama yang tersenarai, masih terdapat sekurang-kurangnya lapan slot yang kosong dan masih belum terisi. Inilah sebenarnya yang begitu dinantikan oleh peminat. Peserta kejutan yang tidak dinamakan dan mampu membuat peminat terlopong mulut dan menggenyeh mata tidak percaya menyaksikan apa yang dilihat.

Beberapa bintang NXT yang sah akan menyertai roster utama tidak lama lagi seperti Lars Sullivan dan EC3 pastinya akan mengisi kekosongan yang ada. Untuk langkah selamat, kita letakkan sahaja lima slot untuk peserta kejutan.

Sekurang-kurangnya satu slot pasti diberi kepada bintang lagenda Hall Of Fame sebagai selingan. Justeru tidak pelik sekiranya tahun ini kita dapat saksikan lagenda yang telah lama tidak muncul seperti Scott Steiner, Sid Vicious atau lain-lain muncul meneruskan tradisi seperti tahun-tahun sudah yang menampilkan Godfather, Hurricane, Road Dogg dan beberapa nama lain lagi yang kebanyakannya belum sempat panas dalam gelanggang, namun tersingkir awal.



Beberapa nama besar dalam industri yang belum pernah menyertai WWE dikatakan akan membuat penampilkan sulung di perlawanan ini kelak. Kisah bagaimana bekas Juara IWGP di New Japan Pro Wrestling, Kenny Omega yang tidak menyambung kontrak untuk kekal bersama organisasi dari negara matahari terbit itu mula membuatkan para peminatnya tidak senang duduk dan berharap agar bintang Kanada itu akan muncul di Royal Rumble. Tidak ketinggalan, beberapa nama besar lain seperti Kazuchika Okada yang juga dikhabarkan telah nekad ingin berhijrah ke tempat lain bagi meraih lebih banyak pengalaman.

Semalam, dua veteran dari TNA (kini Impact Wrestling) juga dilaporkan telah mengangkat kaki dari syarikat tersebut. Jaguh tempur lasak (hardcore) Abyss atau persona tanpa topengnya Joseph Park, juga bersama bintang X Division Sonjay Dutt dikatakan kini sedang menuju ke WWE dan tidak mustahil jika kita akan dapat saksikan mereka pada pagi Isnin ini.

Namun semua ini hanyalah teka-teki yang belum tentu menjadi kenyataan. Kita sebagai peminat seharusnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Sebaliknya, jika sejarah kemunculan AJ Styles di tempat ketiga ketika acara Royal Rumble 2016 yang lalu berulang, ia merupakan bonus kepada peminat dalam mencorak lanskap baharu di WWE bagi tahun 2019 ini.



Juga jangan dilupa yang bukan hanya bintang lelaki akan beraksi dalam perlawanan Royal Rumble ini nanti. Bintang wanita turut sama ingin meletakkan aras mereka setanding dengan meneruskan edisi kedua Rumble wanita tahun ini.

Setelah Asuka mencipta sejarah tahun lalu, adakah tahun ini tiba giliran Natalya, Bayley, Ember Moon, Alexa Bliss, Lacey Evans, Ruby Riott, Sarah Logan, Liv Morgan, Mickie James, Alicia Fox, Mandy Rose, Sonya Deville, Zelina Vega, Charlotte Flair, Naomi, Tamina, Peyton Royce, Billie Kay, Dana Brooke, Lana, Nikki Cross, Nia Jax atau Carmella yang menduduki tempat ke 30?

Siapa pula bintang kejutan dan lagenda yang juga akan turut sama bersaing dalam perlawanan ini kelak? Ia pastinya membuatkan kita sebagai peminat semakin bertambah debaran untuk mengetahui jawapannya beberapa jam dari sekarang.



Tidak cukup dengan dua perlawanan Royal Rumble, beberapa perlawanan turut akan mengambil tempat. Tumpuan pastinya tearah kepada perebutan Kejuaraan Universal WWE di antara sang juara Brock Lesnar menentang Finn Balor, dan konfrontasi perebutan Kejuaraan WWE di antara Daniel Bryan dan AJ Styles.

Perlawanan lain pula adalah seperti berikut:
1. Juara Wanita Raw Ronda Rousey menerima cabaran daripada Sasha Banks
2. Becky Lynch ingin merampas kembali Kejuaraan Wanita Smackdown daripada Asuka
3. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Beregu Smackdown di antara Sheamus & Cesaro menentang Shane McMahon & The Miz
4. Perlawanan 4 penjuru bagi merebut Kejuaraan Cruiserweight WWE: Buddy Murphy (juara) lawan Akira Tozawa lawan Kalisto lawan Hideo Itami
5. Juara Amerika Syarikat Rusev menentang Shinsuke Nakamura

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara NXT Takeover Phoenix pada 27 Januari dan acara WWE Royal Rumble pada 28 Januari  ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video