Skip to main content

Rencana

Lukaku, harimau atau anak kucing

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lukaku-cover.jpg
Dalam lima aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, Manchester United hanya meraih enam mata hasil daripada satu kemenangan, tiga seri dan satu kalah.
 
Antara faktor yang tampak menjadi punca kepada kesukaran yang dihadapi skuad bimbingan Jose Mourinho itu sudah pasti aspek ketumpulan jentera serangan.
 
Sebelum kemenangan 4-1 ke atas Fulham semalam, barisan depan The Red Devils sentiasa dibelenggu masalah sukar untuk menembusi gawang lawan walaupun sering mempamerkan penguasaan bola dalam sesuatu perlawanan.
 
Selain Alexis Sanchez, Marcus Rashford dan Anthony Martial, perhatian semestinya terarah kepada penyerang utama pasukan, Romelu Lukaku.
 


Gagal mempamerkan teknik kawalan bola yang baik, penyudah tumpul di depan gawang serta dikatakan mengalami masalah berat badan, Lukaku seakan-akan tidak mampu untuk menyamai prestasi sewaktu menyarung jersi skuad kebangsaan Belgium apabila bersama United.
 
Selepas meraih 16 gol dalam 34 perlawanan buat United musim lalu, sekali gus meraih kadar purata 179 minit setiap gol, Lukaku tampak tidak mencipta sebarang peningkatan bagi musim ini dengan kadar 182 minit untuk satu jaringan setakat ini.
 
Situasi itu sudah tentu menjadi penyumbang utama kepada kebuntuan United mendapatkan jaringan tatkala Harry Kane, Pierre-Emerick Aubameyang, Sergio Aguero dan Mohamed Salah semakin hari semakin buas memberikan kepuasan buat peminat Tottenham Hotspur, Arsenal, Manchester City dan Liverpool.
 


Menjelang aksi getir liga berdepan seteru utama, Liverpool, Ahad depan, Lukaku seharusnya mula menampakkan taring sebenar bagi memastikan United kembali di landasan untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga keempat sebelum tahun baru.
 
Dia perlu menjadi watak utama dalam memastikan Liverpool meraih kekalahan pertama musim ini.
 
Atau persembahan longlainya sekadar memberi petanda akan kebenaran kenyataan bekas benteng Arsenal, Martin Keown, yang berbunyi: “Lukaku bermain seperti anak kucing. Jika Mourinho mampu mendapatkan kegarangan Lukaku seperti harimau di atas padang, saya sendiri gentar berdepan dengannya.”
 
Justeru, jaringan yang dihasilkan di Old Trafford semalam — selepas kali terakhir melakukannya sembilan bulan lalu — harus dijadikan Lukaku sebagai batu loncatan untuk kembali bangkit bersama The Red Devils.
 

Advertisement

Must Watch Video