Skip to main content

Rencana

Los Blancos terus parah

rm.jpg
Musim 2018/2019 bukanlah tahun yang baik buat Real Madrid. 

Di saat mereka dijulang atas kejayaan musim terdahulu, Real Madrid dilihat bergelut dalam saingan La Liga musim ini selain turut dihantui masalah kemerosotan prestasi. 

Bermula dengan serba tidak kena apabila kehilangan Cristiano Ronaldo dan pengendali Zinedine Zidane, Los Blancos gagal mengorak langkah kanan apabila tidak mampu memacu kedudukan terbaik liga.

Di bawah bimbingan Julen Lopetegui, Real Madrid tidak mampu tampil garang dan kemuncaknya adalah apabila mereka dibelasah seteru utama,Barcelona 5-1 yang sekaligus menyaksikan Lopetegui dipecat dari jawatan ketua jurulatih. 
Penggantinya yang merupakan bekas pemain Real Madrid, Santiago Solari, pula pada awalnya bermula langkah kanan, namun kini langkahnya sudah mula sumbang dan kedudukannya turut dipertikaikan banyak pihak.

Real Madrid kini sekadar berada di tangga keempat liga di belakang Barcelona, Atletico Madrid, Sevilla dan ketinggalan 10 mata dengan pendahulu liga. Tambah memilukan, mereka kini berdepan masalah kecederaan tonggak utama membabitkan Gareth Bale,Toni Kroos, Thibaut Courtois, Marco Asensio dan terbaru, Karim Benzema juga dilaporkan patah jari kaki dan terpaksa diketepikan selama tiga minggu.

Lima perlawanan mendatang akan menyaksikan Real Madrid berdepan pasukan di atas mereka di liga, Sevilla dan Atletico Madrid dan dengan situasi semasa, agak sukar untuk Real Madrid tampil bertenaga sekalipun beraksi di Santiago Bernabeu. 

Bagi penulis,  ianya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan pasukan ini, adakah mereka kekurangan kreativiti dari segi permainan? Adakah jurulatih sedia ada tidak cukup layak membimbing pasukan sebesar Real Madrid? Atau mungkin ada virus yang sedang merosakkan mereka dari dalam?

Walaupun bergelut untuk kempen La Liga, prestasi mereka di saingan liga Juara Juara Eropah masih berada di tahap baik. Real bakal berdepan Ajax Amsterdam di pusingan 16 kejohanan dan dijangka tidak berdepan masalah untuk layak ke peringkat seterusnya.

Advertisement

Must Watch Video