RENCANA
Kemenangan United buka ruang untuk Mourinho kembali bercakap besar
Selepas ditewaskan 0-4 dalam aksi liga dan disingkirkan 0-1 dalam Piala FA oleh Chelsea, Manchester United dilihat seperti sudah menjulang piala apabila --akhirnya -- mengatasi kelab London itu 2-0, kelmarin.
Walhal keputusan itu sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Chelsea untuk terus bertakhta dalam Liga Perdana Inggeris walaupun disifatkan gagal menjarakkan tujuh mata ke atas Tottenham Hotspur yang berada di tempat kedua.
Lebih mencuit hati, kemenangan pertama United ke atas Chelsea dalam tiga pertemuan terakhir mereka itu membuka peluang untuk Jose Mourinho kembali bercakap besar.
Iklan
Sejurus tamat perlawanan di Old Trafford kelmarin, Mourinho tidak putus-putus memuji taktikalnya.
"Kami memiliki taktikal yang baik dan pemain melakukan tugas yang menakjubkan," katanya, dengan menunjuk kepada lencana United sambil berjalan di luar padang.
"Mereka (Chelsea) benar-benar dikawal oleh pasukan yang penuh dengan pemain hebat, yang kreatif dan pantas. Kami sama-sekali mengawal mereka dan saya amat gembira.
"Ia adalah taktik yang sama seperti kami pergi ke Stamford Bridge untuk Piala FA."
Tidak terhenti di situ, Mourinho dilihat masih tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan terdahulu, dengan mengatakan United diyakini mampu menewaskan Chelsea dalam suku akhir Piala FA sekiranya beraksi dengan 11 pemain pada ketika itu.
"Daripada sudut pandangan peribadi, memikirkan hanya tentang saya dan kerja saya, (apa yang membuatkan saya paling gembira) saya benar-benar yakin kami akan bermain dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu ini jika kami bermain di Stamford Bridge dengan 11 pemain. Ia sama sekali meyakinkan."
Dunia mengetahui Mourinho akan menyalahkan sesiapa sahaja apabila pasukannya kalah -- sikap yang jauh berbeza dengan rakan sejawatannya di Chelsea, Antonio Conte.
Dengan mengambil situasi sama, walaupun gol pembukaan dibantu dengan keputusan pengadil yang tidak menyalahkan bola terkena tangan pemain United, Ander Herrera, Conte tetap bertanggungjawab di atas kekalahan 0-2 itu.
Dan walaupun ada meluahkan rasa dengan hanya mengatakan keputusan pengadil (Bobby Madley) tidak baik untuk Chelsea, Conte menegaskan kekalahan itu berpunca daripada kegagalannya untuk mendorong pemain dengan betul ketika menentang United.
"Saya fikir mereka (United) berhak untuk menang," katanya. "Mereka menunjukkan lebih keinginan daripada kami dan lebih bermotivasi tetapi dalam kes ini, kesalahan tersebut adalah jurulatih.
"Ia (salah saya), kerana dalam kes ini, saya tidak mampu untuk merangsang keinginan atau memberi motivasi yang betul untuk bermain dalam perlawanan jenis ini."
Begitulah dua sikap yang jauh berbeza di antara jurulatih skuad pemimpin (liga) dan jurulatih pasukan di tempat kelima yang terdesak tidak ubah seperti pemberontak selepas menabur begitu banyak wang untuk musim ini.
Must-Watch Video