Skip to main content

Rencana

Kejar duit tidak mengapa, usah menipu

henry-to-ronaldinho.jpg
Setiap seorang pemain bola sepak pastinya akan berhijrah dari satu pasukan ke satu pasukan lain dengan sebab tersendiri.

Ada yang berpindah kerana mahukan gaji yang lebih besar. Ada juga pemain yang sanggup meninggalkan pasukan kesayangan kerana mahu mencari cabaran baru.

Bintang Brazil, Neymar, baru-baru ini meninggalkan Barcelona untuk ke Paris Saint-Germain (PSG) dan semua tahu bahawa dia mahu lari daripada bayangan Lionel Messi di Nou Camp.

Selain itu, dia mahu mengejar cita-citanya, memenangi anugerah Ballon d'Or. 

Lain ceritanya jika disebut tentang bintang muda Perancis, Kylian Mbappe, serta kapten Colombia, Radamel Falcao.




Mbappe mengikut jejak langkah Neymar ke PSG, namun penghijrahannya itu sekadar atas tiket dipinjamkan oleh Monaco -- berserta pilihan pembelian pada musim berikutnya dengan harga sekitar GBP166 juta (RM914 juta) -- sekaligus bakal memperkuatkan skuad gergasi Paris itu.

Dia menerima kenaikan gaji daripada GBP15,750 (RM86,811) kepada GBP140,000 (RM771,656) sebaik sahaja menyertai skuad kendalian Unai Emery itu. 

Apa yang menarik, Mbappe mendedahkan sebab penghijrahannya bukanlah kerana wang tetapi kerana minat yang mendalam terhadap legenda Brazil, Ronaldinho, ketika beraksi bersama PSG (2001-2003).

"Saya membesar melihat Ronaldinho beraksi di PSG," kata Mbappe.





Sewaktu Ronaldinho meninggalkan Les Parisiens, Mbappe belum lagi memasuki usia lima tahun, jadi bagaimana dia boleh menyatakan dia membesar melihat aksi lincah Ronaldinho di Paris? Alahai Mbappe.

Sama seperti Falcao ketika menyertai Monaco pada tahun 2013, dia menyifatkan kelibat istimewa legenda Perancis,Thierry Henry, di Les Monegasques -- sebelum menyertai Arsenal -- telah menarik minatnya untuk berhijrah ke Perancis.

Henry bukan seorang pemain yang begitu menyerlah di Monaco, sebaliknya menjadi antara pemain terbaik dunia selepas penampilan cemerlang bersama skuad Gunners. 

Jadi, di mana datangnya "keistimewaan" yang dimaksudkan Falcao? Adakah sebenarnya dia tertarik untuk meninggalkan Atletico Madrid selepas ditawarkan gaji EUR18.2 juta (RM91.9 juta) setahun? 





Lebih mencuit hati, selepas Monaco, Falcao memilih untuk berhijrah ke Manchester United berbanding Arsenal. Mungkin idolanya ketika itu bukan lagi Henry tetapi Francis Jeffers. Aduhai.

Awas Mbappe! Anda mungkin salah seorang bintang muda paling menyinar di dunia ketika ini tetapi jika anda gagal memberikan impak dalam karier semasa di PSG, anda sendiri telah memusnahkan perjalanan bola sepak anda hanya kerana wang.

Tidak mengapa untuk anda mengejar wang tetapi usah menipu. Semua orang kini memerhatikan anda.
 

Advertisement

Must Watch Video