Benar, ada yang mengkritik Mr Universe 10 kali itu selepas positif doping, namun tidak seramai yang mewujudkan kempen #supportSazaliSamad.
Kempen ini sudah menjadi viral antara peminat sukan bina badan terutama pengusaha gimnasium di Lembah Klang kerana Sazali ikon terkenal industri itu.
"Dia sanggup datang dari jauh untuk merasmikan gimnasium saya. Dia orang baik. Saya menghormati dia kerana dia juara yang merendah diri," kata seorang pengusaha gimnasium dari Cheras.
"Kami tidak menentang penggantungan Sazali. Cuma minta jika boleh dikurangkan. Tapi, tujuan sebenar kempen ini ialah untuk beri sokongan kepada Sazali dan keluarganya," kata pengusaha dari Ampang.
Kata orang, kalau kita berbuat baik, kita akan dapat balasan yang baik.
Sazali yang saya kenal memang merendah diri. Walaupun bergelar juara dunia tetapi dia mesra melayan peminat dalam keadaan apa jua sekalipun.
Pernah saya menemubualnya ketika makan di Sri Petaling dan didatangi seorang peminat.
Dia sanggup mencuci tangan dulu dan melayan peminat mengambil gambar. Saya? Nasi lemak Sri Petaling tengah panas...
Saya harap dia tidak bersara walaupun peluang nampak tipis ekoran faktor usia.
Jika enggan buat rayuan, maka Sazali dijangka membuat penampilan semula pada usia 52 tahun - usia yang dianggap lewat untuk kembali kompetitif di peringkat antarabangsa.
Walaupun #supportSazaliSamad hanya usaha kecil namun saya harap ia menyedarkan bahawa ramai yang berada dibelakangnya.
Buat Abang Sazali, jangan rasa terpinggir. Ambillah masa ini untuk berehat, tenangkan fikiran.
Anda tetap juara dimata peminat sukan negara.
Bazly Azmi
Fri Dec 25 2015