Skip to main content

Rencana

Jarak 9,000 batu bukan masalah Liverpool

roberto-firmino.jpg
Dua bulan lalu, banyak pihak menjangkakan Liverpool bakal berdepan kesukaran dengan jadual padat pada akhir tahun akibat perlu beraksi dalam banyak kejohanan.

Perlu menentang Aston Villa dalam saingan Piala Liga Inggeris, sehari sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab FIFA di Doha, Qatar sambil harus berkunjung ke Leicester City lima hari selepas final kejohanan itu untuk menyambung hasrat mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, ia tentunya bukan tugas mudah.

Tekaan awal 'haters' The Reds tepat.

Percaturan menurunkan rata-rata pemain muda ketika menentang Aston Villa seolah-olah memakan diri apabila diratah anak buah Dean Smith itu 5-0, sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Liga.

Namun, jurulatih The Reds, Jurgen Klopp, tenang dengan keputusan itu dan ketenangan berkenaan berbaloi apabila jaringan minit akhir Roberto Firmino membolehkan Liverpool melepasi halangan Monterrey dan mara ke final Piala Dunia Kelab FIFA.

Bintang sensasi Brazil itu sekali lagi muncul wira buat Klopp dan seluruh kem The Reds apabila menyumbat gol tunggal perlawanan sewaktu menewaskan Flamengo 1-0 untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab FIFA buat kali pertama sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 2000.

Ternyata perjalanan sejauh 9,000 batu dari Merseyside ke Doha tidak memberi masalah buat barisan bintang seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil van Dijk dan Firmino apabila meneruskan kecemerlangan menerusi pentas domestik.

Pencabar utama liga musim ini, Leicester, dimalukan di depan penyokong sendiri 4-0 oleh The Reds dan Klopp, menerusi laporan The Daily Mail, jelas berada di tahap keyakinan tertinggi apabila membawa keluar Salah ketika permainan berbaki 20 minit, hanya untuk memberikan pemain sayap itu rehat.

Cuma, apa yang menjadi persoalan, adakah Liverpool mampu mengharungi separuh lagi perjalanan musim ini dengan momentum sama tetapi apa yang pasti, jarak 9,000 batu pun bukan masalah utama The Reds.


Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video