Skip to main content

Rencana

Impian Camp Nou De Jong

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover-photo.jpg
"Tiga tahun lalu, saya dan kamu hadir ke Camp Nou sebagai peminat tetapi hari ini anda boleh khabarkan kepada dunia bahawa anda bakal beraksi buat kelab idaman."

Itu luahan teman wanita Frenkie De Jong, Mikky Kiemeney, selepas bintang muda rebutan kelab Eropah itu memilih untuk melengkapkan perpindahan ke Barcelona.



Pada 30 Disember 2015, De Jong -- yang ketika itu berusia 18 tahun -- hadir ke Camp Nou sebagai seorang anak muda biasa dan mahu menyaksikan pertemuan di antara Barca dan Real Betis bersama Kiemeney.

Bagaimanapun, segalanya berubah kelmarin apabila dia memilih untuk tidak berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) atau Manchester City tetapi menjadikan kelab idaman sejak kecil, Barcelona, sebagai destinasi seterusnya dalam karier.

Kontrak lima tahun ditandatangani pemain tengah Ajax itu menerusi yuran perpindahan sekitar EUR86 juta (RM401 juta) untuk membolehkannya menyarung jersi juara bertahan LaLiga itu pada musim panas akan datang.

Tatkala Barca dilimpahi barisan tengah bertaraf dunia dan sudah dikenali ramai seperti Sergio Busquets, Arthur, Philippe Coutinho, Ivan Rakitic, Arturo Vidal, Rafinha Alcantara serta yang terbaru, Kevin-Prince Boateng, De Jong tanpa gentar menyatakan persetujuan untuk ke Camp Nou walaupun hanya memasuki usia 22 tahun Mei nanti.



Radio Catalunya melaporkan De Jong diyakinkan oleh barisan delegasi Barcelona yang hadir ke Amsterdam, iaitu Pengarah Sukan, Eric Abidal, Pembantu Pengarah, Ramon Planes, Pengurus Sukan, Pep Segura, serta Presiden Kelab, Josep Maria Bartomeu, bahawa dia bakal diberikan waktu permainan secukupnya memandangkan dua pemain tengah bakal dilepaskan.

Tatkala PSG menolak untuk berbelanja sebanyak EUR70 juta (RM327 juta) semata-mata untuk meraih khidmat De Jong, City pula jelas tidak mampu untuk menyamai jumlah EUR16 juta (RM74 juta) seminggu yang ditawarkan Barca, sekali gus membolehkan skuad kendalian Ernesto Valverde itu memperoleh khidmat tonggak muda skuad kebangsaan Belanda tersebut.

Status sebagai pemain paling mahal dijual Ajax serta pemain termahal Belanda bakal digalas De Jong secara rasminya Julai depan. Soalnya, mampukah dia menghadapi tekanan yang perlu diharungi sebaik sahaja menyarung jersi merah biru Barca?



Lebih mencabar, dia kini mula dibandingkan dengan nama-nama besar yang pernah dilahirkan Belanda seperti Johan Cruyff, Arjen Robben, Ruud Gullit, Frank Rijkaard serta Wesley Sneijder.

Jadi, tunggu dan lihat bagaimana dia beraksi di Camp Nou musim 2019/20 nanti.

Advertisement

Must Watch Video