RENCANA
Iktibar daripada kekalutan
Pertukaran gelanggang perlawanan di saat-saat akhir saingan Liga Super di antara Felda United FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak mengganggu fokus dan mentaliti pemain-pemain tuan rumah, Felda United.
Walaupun ia sedikit merencatkan perancangan jurulatihnya, B. Sathianathan, namun ia tidak memberi kesan dan akhirnya Felda United mencipta kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam kelmarin.
Pada penulis, ini satu kejayaan yang gemilang kepada pemain-pemain Felda. Walaupun ada sedikit gangguan, namun mereka mampu menolak ke tepi perkara yang mereka hadapi dengan profesional.
Iklan
Apa yang boleh dipelajari daripada perkara ini sebagai atlet profesional ialah bagaimana perlu bijak dalam mengawal situasi dan mampu mengekalkan prestasi daripada terganggu atau terjejas, sebaliknya memuncakkan pula semangat mereka.
Bagi pengurusan pentadbiran Felda pula, mereka cepat bertindak dalam urusan penyeliaan pertandingan dan memberi kerjasama dengan baik walaupun FMLLP mengubah gelanggang pertandingan pada saat-saat akhir.
Kepada pengurusan FMLLP dan JDT pula, mereka perlu mengucapkan terima kasih dan memohon maaf secara terbuka kepada pengurusan Felda United FC di atas apa yang berlaku.
Sementara itu, FMLLP perlu bertindak adil dan mengambil tindakan sepatutnya di atas kesilapan dan kecuaian yang telah ditimbulkan oleh pengurusan JDT yang dikatakan lewat membuat tempahan penginapan – alasan mengapa pertukaran venue dibuat -- untuk dijadikan pengajaran supaya di kemudian hari tidak akan terjadi lagi.
Janganlah membiarkan perkara ini senyap begitu sahaja kerana dalam era pengurusan profesional, ini tidak sepatutnya berlaku.
Bagi segelintir pegawai pengurusan juga, terutama pengurusan Felda United, syabas kerana bertindak bijak dan tidak mengikut emosi untuk membesar-besarkan isu ini mengunakan pihak media disebabkan keakraban dan punya rakan-rakan media kerana perkara ini boleh dibincang di meja bulat.
Kepada jurulatih Felda United, Sathianathan, penulis mengucapkan tahniah kerana berjaya mengawal situasi ini dengan baik walaupun ia mengganggu persiapan dan perancangan beliau dalam menyusun strategi dan taktikal dalam perlawanan itu.
Beliau tidak mahu isu itu mengganggu fikiran dan terus menolak secara baik dengan tidak mahu memberi komen dan ini menunjukkan kematangan dalam diri jurulatih berpengalaman itu.
Sikap begini yang perlu dipelajari oleh jurulatih-jurulatih muda tempatan bagaimana untuk mengawal situasi dengan profesional.
Penulis juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan sikap yang profesional di atas padang dengan melupakan apa yang berlaku sehingga perlawanan menjadi menarik.
Tidak terlalu lewat juga kepada penulis untuk mengucapkan tahniah kepada JDT yang telah menjulang trofi Liga Super empat kali berturut-turut.
Must-Watch Video