Skip to main content

Rencana

Iktibar buat Melaka United kekal dalam Liga Super

jasmin.jpg
Melaka United kekal beraksi dalam Liga Super musim depan apabila menewaskan Selangor 2 - 1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi. Jaringan dua pemain import, Jasmin Mecinovic dan Marco Simic, sudah cukup untuk mengeluarkan Melaka daripada zon penyingkiran.

Dengan mengutip tiga mata yang sangat berharga, Melaka United mengumpulkan 24 mata, sekaligus menjarakkan mereka daripada pasukan T-Team, Kelantan dan Sarawak bagi 1merebut dua lagi slot untuk berada di zon selamat. Pasukan Pulau Pinang sah akan turun ke Liga Perdana musim depan apabila tewas di tangan Perak 0-1.

Musim 2017 ini bukanlah musim yang gemilang buat Melaka United walaupun usaha, perancangan dan juga dana yang agak besar dilaburkan berbanding beberapa pasukan lain yang mengisi kedudukan lebih tinggi. Pihak pengurusan serta penyokong sudah semestinya meletakkan harapan ingin melihat sekurang-kurangnya Melaka United dapat mencabar pasukan-pasukan di kelompok atas. 

Namun, ini tidak berlaku musim ini, malah Melaka United agak bergelut hingga pada suatu ketika terpaksa merombak pemain dan juga menukar jurulatih pada pertengahan musim.

Saya tetap berpegang dengan apa yang saya coretkan pada awal musim, iaitu jika Melaka United dapat kekal terus beraksi dalam Liga Super musim 2018, itu adalah satu kejayaan buat pasukan yang baru melangkah naik dan telah lama berada dalam liga bawahan, iaitu Liga FAM dan juga Liga Perdana.

Antara manfaat yang perlu diambil oleh pasukan Melaka United pada musim 2017 ini adalah pengalaman bermain dalam Liga Super bersama kelompok pasukan elit  seperti JDT, Kedah, Pahang, Selangor, Felda United.

Bersaing dengan pemain-pemain elit tempatan dan import boleh dijadikan bekalan dalam mengharungi Liga Super 2018 dengan lebih cemerlang.

Selain itu, untuk musim depan, pemilihan pemain-pemain import dan tempatan yang bersesuaian dengan konsep dan struktur permainan yang diinginkan oleh jurulatih untuk Melaka United, harus di pandang serius.

Jika tidak perbelanjaan berlebihan akan berlaku pada pertengahan musim seperti musim ini yang akan merugikan dari segi kewangan pasukan.

Jika kita melihat secara kasar, bahagian pertahanan Melaka United adalah antara bahagian yang perlu dimantapkan. Ia harus dilihat dengan lebih teliti dengan apa yang perlu ditambahbaikkan. Pertahanan bukan hanya bermaksud "back four" sahaja tetapi secara keseluruhan sebagai satu pasukan.

Saya pasti satu atau dua pengajaran amat berguna pada musim 2017 ini dapat diambil oleh pihak pengurusan Melaka United dengan positif.

Saya juga pasti pengalaman yang dilalui ini akan memastikan pihak pengurusan membuat perancangan yang lebih teliti dan lebih mantap untuk menghadapi musim yang lebih mencabar tahun hadapan. 

Tahniah sekali lagi buat Melaka United dan juga penyokong tegar mereka yang tidak jemu-jemu berada di belakang pasukan selama ini.

Buat orang Melaka, apa yang penting Melaka United kekal dalam Liga Super 2018.

Advertisement

Must Watch Video