Skip to main content

Rencana

Gigit telinga dia!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

farkhan-haron.jpg
Farkhan Haron mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Iskandar Puteri malam tadi.

Peninju profesional negara itu menewaskan jaguh Tanzania, Pascal Ndomba, dengan technical knock-out (TKO) dalam pusingan ketujuh untuk mempertahankan tali pinggang cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia, Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia dan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) Antara Benua.

Tidak lama selepas kedua-dua peninju memulakan 'bout', terdengar satu pekikan dari tempat duduk penyokong: "Gigit telinga dia!"

Meskipun mencuit hati, ia mengingatkan kita dengan satu insiden 22 tahun lalu di antara Mike Tyson dan Evander Holyfield.

Pada 28 Jun 1997, dalam satu perlawanan ulangan -- Tyson tewas kepada Holyfield dengan TKO dalam pusingan ke-11 hampir setahun sebelumnya -- Tyson bertindak mengigit kedua-dua belah telinga Holyfield sebelum dibatalkan penyertaan dalam pusingan ketiga.

Insiden yang dilabel sebagai kontroversi terbesar dalam dunia sukan moden itu juga menyaksikan buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, satu pertarungan heavyweight dunia ditamatkan dengan pembatalan penyertaan.

Menariknya, Ndomba juga mendapat julukan 'Mike Tyson Afrika' tetapi dua tumbukan tepat yang dilepaskan Farkhan ke arah ulu hati dan rusuk juara Afrika itu membolehkannya melebarkan rekod kemenangan KO kepada 11-0.

Harap-harap tiada insiden gigit-menggigit di antara Ndomba dan Farkhan dalam perlawanan ulangan yang dirancang untuk diadakan di Tanzania selepas ini.

Advertisement

Must Watch Video