Skip to main content

Rencana

Empat faktor Modric raih Ballon d'Or

modric-3.jpg
Sejarah telah tercipta -- pemenang terbaru Ballon d'Or sudah tiba. Bintang Real Madrid, Luka Modric, akhirnya telah berjaya menakluki dunia bola sepak, menewaskan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, sekali gus memecah dominasi 10 tahun dua pemain tersebut.

Ia merupakan tahun paling berjaya buat Modric, setakat ini. Pemain kebangsaan Croatia itu telah memenangi Anugerah Pemain Terbaik UEFA dan FIFA, tetapi persaingan lebih sengit untuk mendakap Ballon d'Or selepas perlu bersaing dengan ramai bintang Perancis yang muncul juara dunia, iaitu Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, dan Raphael Varane, tidak termasuk persaingan bersama Messi dan Ronaldo serta beberapa bintang lain.

Di sebalik intensiti persaingan, Modric kekal berdiri hingga ke garisan penamat. Persembahan serta pencapaian sejak beberapa musim lalu telah membantunya menjadi pemain terbaik dunia.

#4 Liga Juara-Juara (UCL)

Modric menjadi tulang belakang Real dalam saingan Eropah bagi musim lalu, menggabungkan gerakan di antara pertahanan dan menyerang, mengawal rentak permainan serta membantu menyerap tekanan. Modric turut bertindak selaku perancang dalam melakukan hantaran-hantaran berkualiti sepanjang musim lalu.

Pemain kebangsaan Croatia itu telah membantu pembimbing pasukan, Zinedine Zidane, dan Real memenangi UCL buat kali ketiga berturut-turut -- pencapaian yang tidak pernah diraih oleh mana-mana pasukan.

#3 Piala Dunia FIFA

Walaupun Modric telah melonjakkan peluangnya untuk memenangi Ballon d'Or menerusi kejayaan dalam saingan UCL, Piala Dunia Russia menjadi medan buat semua pemain membuktikan kebolehan mereka untuk bergelar pemain terbaik dunia.

Memikul tanggungjawab besar selaku kapten pasukan bukan pilihan di pentas tertinggi bola sepak, pemain kebangsaan Croatia itu berjaya menyerlah dalam kejohanan tersebut dengan membantu pasukan mara ke final berdepan Perancis.

Menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan, Modric bersama Croatia melakar sejarah apabila pertama kali ke final, namun tewas kepada Perancis yang dibarisi rata-rata pemain berkelas bintang.

#2 Messi dan Ronaldo "sendu" di Russia

Satu lagi faktor yang membantu Modric mencipta kejayaan Ballon d'Or tahun ini adalah kegagalan Messi dan Ronaldo mencetus inspirasi negara mereka di Russia.

Sebelum edisi kali ini, Messi-Ronaldo berkongsi 10 gelaran Ballon d'Or (lima setiap seorang) dan hadir sekali lagi selaku pilihan untuk memenangi anugerah tersebut.

Cemerlang bersama kelab masing-masing, mereka dijangka menambah koleksi Ballon d'Or tetapi gagal memberikan impak yang sama bersama skuad negara masing-masing -- memberikan laluan kepada Modric untuk diangkat sebagai terbaik dunia.

#1 Sudah tiba masa buat pemenang baru

Modric telah dinobat sebagai pemenang Ballon d'Or 2018 tetapi perdebatan terhadap kemenangannya akan sentiasa dipertikaikan selagi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo masih lagi beraksi di tahap tertinggi.

Walaupun pemain kelahiran Croatia itu telah mengharungi musim yang berjaya, cemerlang dalam saingan UCL dan Piala Dunia, prestasi Messi dan Ronaldo tidak jauh beza jika dibandingkan ketika mereka diangkat sebagai pemenang.

Messi merupakan penjaring terbanyak dalam saingan lima liga terbaik Eropah dan membantu Barcelona meraih gelaran domestik berganda manakala Cristiano Ronaldo merupakan pemain paling menyerlah dalam saingan UCL, memimpin Real untuk memenangi gelaran UCL buat kali ketiga berturut-turut dan menamatkan saingan selaku penjaring terbanyak buat kali keenam berturut-turut -- belum mengira kedua-dua bintang itu menjaringkan lebih daripada 40 gol buat pasukan mereka bagi musim lalu.

Modric berhak diangkat sebagai pemenang di atas apa yang dipamerkan bagi tahun ini. Tetapi masihkah anda ingat apa yang berlaku kepada Xavi dan Iniesta pada 2010?

Frank Ribery bagi tahun 2013, sama seperti Manuel Neuer pada tahun berikutnya, anda mungkin boleh menyedari bahawa pemenang baru harus dipilih dan Modric tiba tepat pada masanya.


 

Advertisement

Must Watch Video