Skip to main content

Rencana

Dua tahun lagi, Piala Dunia 2022 akan jadi istimewa dalam dan luar padang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tim-cahill-in-qatar-supreme-committee-office.jpg
Teks ini dialih bahasa daripada penulisan asal bekas penyerang kebangsaan Australia, Tim Cahill.

Dua tahun dari sekarang, bola sepak akan menjadi topik utama di hampir seluruh dunia. Dengan menyajikan lebih 64 perlawanan, kesemua pemain terbaik dunia akan bersaing merebut gelaran selaku juara dunia. Penyokong daripada seluruh pelusuk akan bertandang ke Qatar untuk menyertai keraian dalam bola sepak, penuh dengan impian dan keyakinan bahawa mereka akan menjadi saksi kepada sejarah yang akan tercipta buat negara mereka.

Sewaktu bergelar pemain, saya cukup bertuah kerana dapat mewakili Australia dalam empat edisi Piala Dunia. Setiap kejohanan itu mempunyai keistimewaan tersendiri tetapi saya tidak akan dapat melupakan gol Piala Dunia pertama saya ketika menentang Jepun pada 2006. Ia hari yang amat panas dan stadium dipenuhi dengan penyokong Australia. Saya masuk sebagai pemain gantian dan susulan daripada lontaran ke dalam jauh, bola itu melantun beberapa kali sebelum ia sampai ke kaki saya. Saya menyepaknya dengan gaya yang agak kekok dan mujur ia menemui belakang jaring. Pada ketika itu, saya tidak tahu bahawa ia merupakan jaringan pertama Australia dalam Piala Dunia tetapi masih jelas di ingatan saya berlari untuk meraikannya di penjuru padang. Ia bukanlah gol terhebat yang pernah saya jaringkan tetapi momen itu akan diingati sepanjang hidup saya.

Buat penyokong dan pemain juga seperti itu, Piala Dunia mencipta memori yang istimewa. Ia membawa peminat dari seluruh planet ini bersama dalam meraikan rasa cinta mereka kepada pemainan yang indah ini dan menawarkan peluang yang unik untuk menjelajah negara baru dan mempelajari sejarah, budaya dan tradisi mereka. Ia sememangnya pengalaman yang dikongsi seluruh dunia.

Piala Dunia 2022 merupakan kejohanan utama pertama yang akan di anjurkan di Timur Tengah, yang diwakili Qatar dengan peluang untuk melakukan sesuatu yang istimewa di dalam dan di luar padang dalam memperkenalkan wilayah yang lebih luas dan kehangatan sambutan rakyat mereka kepada seluruh dunia.

Kejohanan pada 2022 itu akan menjadi peluang untuk membawa dunia lebih rapat selepas melalui waktu yang amat sukar. Saya amat bertuah kerana dapat meluangkan banyak masa di Qatar sejak bersara dan amat kagum dengan tahap persediaan mereka bagi memastikan segalanya sudah tersedia untuk 2022. Ia waktu bersejarah untuk menganjurkan upacara besar seperti ini ketika pandemik global tetapi saya tiada sebarang keraguan bahawa kejohanan ini bukan sahaja akan menjadi momen istimewa buat Qatar, malah buat seluruh dunia.



Sukan boleh menjadi wadah yang kukuh untuk perubahan dan menaik taraf kehidupan seseorang. Saya sudah melihat sendiri impak daripada menganjurkan acara sukan utama buat sesebuah bandar dan negara. Sukan Olimpik 2000 telah dianjurkan di bandar Sydney dan mengubah tempat itu, lebih baik daripada banyak sisi. Ia juga meletakkan negara itu dalam posisi untuk menganjurkan acara sukan berkelas dunia lain seperti Piala Dunia Ragbi 2003. Kedua-dua acara itu amat hebat buat Australia, yang merupakan sebuah negara dengan tradisi sukan membanggakan.

Di dalam padang, Qatar komited untuk menganjurkan Piala Dunia dengan seluruh hati -- sesuatu yang dapat dilihat dengan segala-galanya, daripada stadium hingga ke pengangkutan awam. Jarak terjauh di antara venue hanyalah 75km, jadi penyokong berpeluang untuk menghadiri lebih daripada satu perlawanan sehari, pengalaman baru dalam sejarah Piala Dunia. Buat fanatik bola sepak seperti saya, ia benar-benar menarik.

Qatar ketika ini sedang menganjurkan saingan Liga Juara-Juara Asia Zon Timur dan akan turut menjadi tuan rumah final kejohanan itu pada 19 Disember ini. Ia pasti akan membuka mata pemain, yang akan menjadi sebahagian yang pertama merasai pengalaman beraksi di stadium baru yang dibina untuk Piala Dunia. Sebagai pemain, amat menarik untuk dapat beraksi di padang terbaik di stadium terbaik, jadi saya amat pasti ia akan menjadi pengalaman yang hebat buat semua yang terlibat dan saya tidak sabar untuk melihat bagaimana kejohanan itu akan bermula.



Bagi saya secara peribadi, inisatif di luar padang sebagai sebahagian daripada Qatar 2022 sama pentingnya dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan bagi menganjurkan kejohanan itu. Inisiatif yang mendidik setiap orang dan memacu perubahan sosial itu mempunyai potensi untuk memberikan keputusan positif selepas wisel terakhir ditiupkan di Stadium Lusail pada 18 Disember 2022.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk bekerjasama dengan Generation Amazing, satu program legasi sosial dan masyarakat yang menggunakan pembangunan bola sepak sebagai inisiatif untuk mengajar kemahiran sosial dan kehidupan, mendidik masyarakat mengenai isu penting seperti kelestarian, hidup sihat dan inklusif. Sejak ia dilancarkan, program itu telah memberikan kesan positif kepada lebih 500,000 orang dengan menangani masalah sosial yang berlaku di negara seperti Oman, Nepal, Jordan, India dan Haiti, antaranya. Menjelang 2022, Generation Amazing berharap dapat mencapai satu juta golongan muda di seluruh dunia. Ia adalah satu projek menarik dan sesuatu yang saya bangga untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Salah satu perkara paling istimewa tentang sukan adalah tentang bagaimana ia memberikan inspirasi. Ia boleh meninggalkan legasi yang melampaui sukan itu sendiri. Saya masih ingat ketika masih kecil dan menonton Itali 90, saya amat tertarik menyaksikan Toto Schillaci, 'super-sub' dan penggempur Itali. Dia akan masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dari segenap sudut. Kegembiraan dan aura yang dibawanya begitu istimewa. Dia amat bersemangat di atas padang dan sebagai seorang pemain tengah yang gemar naik ke atas ke dalam kotak penalti, dia merupakan satu inspirasi buat saya. Kesemua momen itu membuatkan saya mengimpikan untuk satu hari nanti melakukan perkara yang sama buat negara saya.

Qatar 2022 berpotensi untuk mencipta satu pembaharuan buat kejohanan sukan utama, sama ada di dalam atau di luar padang, dan meninggalkan satu legasi yang bertahan lama selepas sepakan terakhir kejohanan itu. Secara khusus, ia akan menjadi sesuatu yang istimewa buat kanak-kanak Qatar -- dan kanak-kanak di seluruh dunia -- untuk melihat pasukan kebangsaan mereka bersaing dengan superstar era moden seperti Messi, Neymar, Ronaldo dan Mbappe. Ia akan menjadi sesuatu yang tidak pernah dilupakan mereka dan diharapkan dapat menjadi inspirasi buat generasi akan datang untuk bergiat aktif, bermain lebih banyak bola sepak dan mengejar impian mereka.

Penulis: Tim Cahill
Diterjemahkan oleh: Muzaffar Musa

 

Advertisement

Must Watch Video