Skip to main content

Rencana

Disangka bersara, rupanya masih menghayun raket!

lee-chong-wei-pc.jpg
"Aku jamin, kali ini dalam sidang media, 99.99 peratus, dia (Datuk Lee Chong Wei) akan umum dia bersara, kanser kot!" ungkap rakan sekerja daripada agensi berita lain.

Sejak 9 pagi lagi saya dan jurukamera, Ezreen Isa, sudah berada di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara menantikan sidang media khas Chong Wei. Ia bakal menjadi penampilan pertama jaguh perseorangan itu sejak kali terakhir di Terbuka Indonesia pada Julai lepas. Sejak dia pulang dari Taiwan pada bulan lalu, keadaan dirinya hanya dikongsi di laman sosial, namun bukan milik peribadi, sebaliknya individu rapat yang lain seperti Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Malah, Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh, juga pernah berjumpa dengan Chong Wei cuma tidak dipaparkan di media sosial. 

Saya pernah mencuba nasib untuk terjah keadaan Chong Wei di kediamannya di Damansara, sehari selepas dia pulang ke tanah air 7 Oktober lalu, namun hampa. Sekadar visual pagar rumah dan perbualan bersama pengawal keselamatan warga asing sahaja dapat dirakam.

Sebulan sejak itu, akhirnya tarikh dinantikan tiba, namun ramai berpendapat Chong Wei tidak mungkin dapat meneruskan karier, apatah lagi barah hidung yang dihidapi adalah di tahap tiga.

Terselamat, mungkin, namun untuk menghayun raket beraksi di tahap tertinggi, ia bagaikan satu perkara yang sangat mustahil. Tanyalah sesiapa pun, ramai meramalkan Chong Wei pasti akan mengumumkan persaraanya dalam sidang media kali ini.

Petang Khamis, 8 November, kira-kira jam 2.30 petang, Chong Wei akhirnya hadir di Akademi Badminton Bukit Kiara diiringi Datuk Seri Norza Zakaria dan Setiausaha Kehormat, Datuk Ng Chin Chai. 

Chong Wei tampak kurus, rambutnya kembali tumbuh lebat, meskipun cengkung dia masih kelihatan ceria dalam sut sukan rona kelabu. Chong Wei melemparkan senyuman dikala lensa kamera bertubi-tubi menangkap susuk tubuh wira negara itu sambil dikelilingi wartawan yang datang dari seluruh pelusuk agensi berita, daripada yang dikenali ramai sehinggalah nama yang langsung tidak pernah didengar.

"Ya, saya sudah bebas daripada kanser hidung, namun masih kena berulang alik ke Taiwan tiga bulan sekali untuk rawatan susulan.

"Saya masih akan beraksi, namun ambil masa, ikut nasihat doktor dan perlahan-perlahan akan kembali semua ke gelanggang pada bulan depan.

"Emas Sukan Olimpik semua pemain pun nak, begitu juga saya. Ia memang menjadi idaman dan sentiasa bermain di fikiran"

"Untuk layak tiada masalah, namun saya tidak mahu hanya layak, setakat ke Tokyo untuk berjalan-jalan makan angin, lebih baik hantar budak muda kutip pengalaman!"

Demikian antara intipati ungkapan Chong Wei dalam sidang media itu, ada bibit rasa gembira, ada juga bibit rasa terharu, pada usia 37 tahun, Chong Wei masih mahu memerah keringat demi cintanya kepada sukan badminton.

Namun, berbeza untuk teman saya daripada agensi berita lain tadi, dia sedih dengan sidang media ini.

" Aduhai, aku dah siap karang berita Chong Wei bersara, tinggal nak masukkan ucapan daripada dia sahaja, punah semua ni, punah. kena karang semula!"



 

Advertisement

Must Watch Video